Thursday, July 31, 2025
HomeAKTIVITISuara Perwakilan MAPA 2025 Bentuk Kepimpinan Tertinggi ANGKASA

Suara Perwakilan MAPA 2025 Bentuk Kepimpinan Tertinggi ANGKASA

Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah kekal menerajui ANGKASA sebagai Presiden selepas berjaya mempertahankan kedudukannya dalam Mesyuarat Agung Perwakilan ANGKASA ke-39 (MAPA 2025), manakala Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik dipilih sebagai Timbalan Presiden ANGKASA.

Keputusan mesyuarat tersebut bukan sekadar pemilihan barisan kepimpinan, malah cerminan suara perwakilan akar umbi terhadap kesinambungan dan hala tuju gerakan koperasi yang dipacu oleh kedua-dua pemimpin tertinggi ANGKASA itu.

Pemilihan kedua-dua jawatan tertinggi berkenaan menyaksikan Datuk Seri Dr. Abdul Fattah yang juga Presiden ASEAN Co-operative Organization dan Naib Presiden International Cooperative Alliance – Asia and Pacific bertanding mewakili Koperasi Kariah Masjid Kampung Lubuk Kulit Lipis Berhad, koperasi yang dipengerusikan oleh beliau.

Sementara itu, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman pula mewakili Koperasi Universiti Pertahanan Nasional Malaysia Kuala Lumpur Berhad yang turut dipengerusikannya. Di samping itu, enam orang perwakilan turut dipilih sebagai Jawatankuasa Menentusahkan Draf Minit MAPA.

Pemilihan tersebut adalah sebahagian daripada 12 agenda yang telah dibentangkan dalam mesyuarat tahunan itu yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 5 Julai 2025.

Proses pemilihan yang bermula jam 12:45 tengah hari secara dalam talian itu berjalan dengan lancar dan bagi memastikan ketelusan keputusan pengundian, firma audit luar Sahir & Co. telah dilantik serta dibantu oleh barisan Jawatankuasa Audit Dalaman (JAD) ANGKASA yang diketuai oleh Pengerusinya, Dato’ Haji Shaharudin Mohd Sa’ad.

Datuk Seri Dr. Abdul Fattah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak atas sokongan yang diberikan, khususnya mandat yang diterima untuk terus menerajui ANGKASA.

Beliau turut menzahirkan komitmen untuk memperkukuh peranan ANGKASA dalam memperjuangkan kepentingan gerakan koperasi di peringkat nasional dan antarabangsa. Dalam masa yang sama, beliau menyeru seluruh warga koperasi agar terus merapatkan barisan dan memperkukuh solidariti demi kelangsungan dan kemajuan gerakan koperasi negara.

Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman juga menyatakan rasa syukur dengan kemenangan tersebut serta menghargai sokongan dan kepercayaan yang diberikan oleh perwakilan kepada beliau untuk terus memberikan sumbangan dalam gerakan koperasi negara.

Keputusan Pemilihan Seorang Presiden ANGKASA:-

  • Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah mewakili Koperasi Kariah Masjid Kampung Lubuk Kulit Lipis Berhad

Keputusan Pemilihan Timbalan Presiden ANGKASA:-

  • Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik mewakili Koperasi Universiti Pertahanan Nasional Malaysia Kuala Lumpur Berhad

Keputusan Pemilihan Enam (6) Orang Jawatankuasa Menentusahkan Draf Minit MAPA:-

1) Haji Adnan Awang
Koperasi Guru-Guru DTC Malaysia Berhad

2) Puan Intan Norzira Tormudzi
Gabungan Koperasi Sekolah-Sekolah Melaka Berhad

3) Puan Norizah Abdullah
Koperasi Usahawan Kecil Raub Berhad

4) Haji Shafie Haji Mohd Noor
Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Sendayan Seremban Berhad

5) Hajah Habibah Ja’afar
Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Telemong Berhad

6) Haji Razali Malik
Koperasi Kakitangan Kerajaan Dan Badan-Badan Berkanun Terengganu Berhad

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine