Presiden ANGKASA yang juga Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah telah merasmikan penubuhan tiga buah Koperasi Kariah Masjid (KKM) di Luzon, Filipina menerusi kerjasama dengan National Commission on Muslim Filipinos (NCMF).
Dalam ucapannya, beliau menyatakan inisiatif ini merupakan satu lagi langkah bermakna dalam memperluaskan model Koperasi Kariah Masjid yang telah berjaya dilaksanakan di Malaysia ke bumi Filipina.
“Adalah sangat menginspirasikan untuk melihat komitmen komuniti Muslim tempatan di Filipina dalam memajukan perdagangan dan pertanian halal melalui model koperasi,” katanya sewaktu Majlis Perasmian Koperasi-Koperasi Kariah Masjid di Luzon pada 12 Julai 2025.
Beliau turut berkongsi bahawa di Malaysia kini mempunyai 605 buah KKM berdaftar setakat Mei 2025, dengan lebih 47,000 anggota, jumlah saham terkumpul RM16.56 juta, aset RM41.11 juta dan perolehan tahunan RM30.60 juta.
“Saya berharap angka ini dapat menjadi motivasi kepada KKM di Filipina untuk terus berevolusi dan bergerak maju sekali gus menjadi wadah pemerkasaan sosioekonomi umat Islam di negara tersebut khususnya dan rantau ASEAN amnya,” katanya.
Koperasi yang dirasmikan termasuklah Rizal Muslim Halal Agriculture Cooperative yang dipengerusikan oleh Encik Omar C. Amama.
Ditubuhkan pada November 2024, koperasi ini menjalankan ternakan ayam dengan visi untuk menyelesaikan masalah ekosistem produk halal di lima buah wilayah dalam Luzon yang mempunyai lebih 200,000 orang Muslim.
Setakat ini, mereka telah menternak lebih 1,000 ekor ayam dan akan dikembangkan lagi di masa hadapan dengan bantuan modal dan teknikal daripada pihak berwajib.
Koperasi seterusnya, Norzagaray Halal Trade Agriculture Cooperative yang dipengerusikan oleh Encik Nashreen Benito pula mengusahakan ladang ternakan kambing untuk kemudahan penduduk Luzon menjalankan ibadah Qurban.
Setakat ini, mereka sedang menternak lebih 60 ekor kambing dan mengharap dapat mencapai 100 ekor menjelang Hari Raya Haji tahun hadapan bagi memenuhi keperluan 150 keluarga Muslim di daerah tersebut. Koperasi terakhir, Islamic Traders’ Halal Transactions Multi-purpose Cooperative yang dipengerusikan oleh Encik Satar A. Tumanong pula menjalankan pelbagai jenis perniagaan halal termasuk daging lembu, kambing dan kedai runcit.
Koperasi yang berpusat di Meycauayan, berdekatan Bandaraya Manila tersebut kini sedang giat mengembangkan perniagaan dan menambah modal bagi memperkasakan lagi sosioekonomi umat Islam di kawasan bandar.
Hadir sama dalam pertemuan tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh, Ketua Bahagian Koperasi, Bureau of Muslim Economic Affairs (BMEA), NCMF, Encik Almojin D. Pandapatan, Pengurus Kanan Bahagian Pembangunan dan Perniagaan Koperasi Kariah Masjid ANGKASA, Encik Mohd Safian Abdul Rahman dan Pengurus Seksyen Malaysian Business Office (MBO), Bahagian Antarabangsa ANGKASA, Hajah Wan Azwati Wan Mohamed.


















