Seramai 5,687 perwakilan berdaftar daripada koperasi anggota ANGKASA di seluruh negara telah menghadiri Mesyuarat Agung Perwakilan ANGKASA Ke-40 (MAPA 2026) yang berlangsung secara hibrid bertempat di Auditorium ANGKASA, Wisma Ungku A. Aziz, Kelana Jaya pada 27 Jun 2026.
Daripada jumlah tersebut, seramai 367 perwakilan hadir secara fizikal manakala 5,320 lagi telah menyertainya secara dalam talian melalui aplikasi Zoom Meeting.
Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Dato’ (Dr.) Haji Mustafha Abd. Razak dan dibantu oleh Datuk Haji Haron Haji Abdullah selaku Timbalan Pengerusi.
Sebanyak 12 agenda telah dibentangkan antaranya adalah Mengesahkan Minit MAPA Ke-39 (MAPA 2025) pada 5 Julai 2025, Menimbang dan Meluluskan Pindaan Aturan ANGKASA, Memilih Dua Orang Naib Presiden ANGKASA, Memilih Enam Orang daripada Perwakilan Koperasi dan Mengesahkan Pelantikan Empat Orang daripada Lembaga ANGKASA sebagai Jawatankuasa Menentusahkan Draf Minit Mesyuarat Agung Perwakilan ANGKASA Ke-40 serta Mengesahkan Pelantikan Lembaga ANGKASA mewakili Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan Wakil Kementerian Kewangan Malaysia (MOF).
Selain itu, mesyuarat juga turut Menimbang Laporan Lembaga ANGKASA dan Laporan Jawatankuasa Audit Dalaman daripada 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2025 serta Menimbang dan Meluluskan Penyata Kewangan ANGKASA bagi Tahun Kewangan Berakhir 31 Disember 2025 berserta Laporan Juruaudit Luar dan Pandangan Ketua Pendaftar.
Selain itu, mesyuarat juga turut Menimbang dan Meluluskan Pindaan Anggaran Belanjawan ANGKASA bagi Tahun Kewangan 2026, Anggaran Belanjawan ANGKASA bagi Tahun Kewangan 2027 serta Anggaran Belanjawan Modal Aset ANGKASA bagi Tahun Kewangan 2027.
MAPA 2026 dianggap lebih istimewa kerana seiring dengan ulang tahun ANGKASA yang Ke-55. Bersempena dengan ulang tahun tersebut, perwakilan yang hadir sama ada secara fizikal mahu pun secara dalam talian ditawarkan harga istimewa iaitu RM55.00 sahaja sekiranya mendaftar wasiat dengan anak syarikat ANGKASA, iaitu MyANGKASA Amanah Berhad.
Seramai 16 orang Jurucakap Negeri yang diketuai oleh Dato’ Haji Hashim Mamat, turut membahaskan usul dan pandangan masing-masing.























