ANGKASA menerima mandat daripada perwakilan Mesyuarat Agung Perwakilan ANGKASA Ke-40 (MAPA 2026) untuk melaksanakan enam rancangan strategik melibatkan peruntukan berjumlah RM293 juta bagi memperkukuh pembangunan serta meningkatkan daya saing perniagaan gerakan koperasi.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, antara inisiatif yang diluluskan termasuk cadangan pemilikan ekuiti ANGKASA dalam Boost Holdings Sdn. Bhd. menerusi MyANGKASA Digital Services (MDS), permohonan lesen pemilikan bank pelaburan digital melalui Labuan Financial Services Authority (LFSA) serta cadangan pengambilalihan MyANGKASA Ventures Sdn. Bhd. (MVSB).
Katanya, pengambilalihan tersebut turut melibatkan penjenamaan semula MVSB kepada ANGKASA Takaful Berhad serta pelaksanaan operasi secara rasmi sebagai pengendali Takaful Digital ANGKASA.
“Kelulusan yang diberikan oleh perwakilan membolehkan ANGKASA meneruskan pelaksanaan enam inisiatif yang dirancang bagi memperkukuh pembangunan perniagaan gerakan koperasi, sekali gus membuka ruang kepada penerokaan peluang baharu dalam sektor kewangan, pendigitalan, hartanah, pelancongan dan perkhidmatan kesihatan,” katanya kepada wakil media sejurus selepas berakhirnya MAPA 2026 di Auditorium ANGKASA, Wisma Ungku A. Aziz, Kelana Jaya pada 27 Jun 2026.
Selain itu, tiga lagi inisiatif yang diluluskan melibatkan penstrukturan semula Projek Tanjung Waterfront Harbour Cruise (TWHC) menerusi My Ancasa Travel Sdn. Bhd. (MYAT), pengambilalihan projek pembangunan CoopCity Bandar Penawar, Johor serta penubuhan 11 cawangan baharu Pusat Dialisis MyANGKASA.
Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah berkata, ANGKASA berharap kerajaan mempertimbangkan peruntukan khas sebanyak RM500 juta dalam Belanjawan 2027 bagi memperkukuh pembangunan dan penskalaan perniagaan koperasi menerusi pelbagai agensi termasuk ANGKASA.
Menurut beliau, dana tersebut perlu dilihat sebagai pelaburan strategik yang mampu menghasilkan kesan berganda kepada ekonomi negara, bukannya sekadar perbelanjaan semata-mata. Beliau berkata, berdasarkan pengalaman pelaksanaan program pembangunan koperasi, setiap RM1 yang dilaburkan berupaya menjana pulangan sehingga RM10 dalam rantaian ekonomi.
“Ini bermakna, peruntukan RM500 juta yang dipohon berpotensi mewujudkan impak ekonomi sehingga RM5 bilion melalui peningkatan aktiviti perniagaan, penciptaan peluang pekerjaan, pemerkasaan usahawan serta pembangunan komuniti di seluruh negara,” jelasnya.
Beliau berkata, sehingga Disember 2025, gerakan koperasi negara merekodkan 16,468 buah koperasi dengan keanggotaan seramai 7.3 juta individu, syer dan yuran berjumlah RM18.64 bilion, aset bernilai RM186.75 bilion serta perolehan sebanyak RM81.62 bilion.
“Pencapaian ini bukan sahaja melepasi sasaran perolehan RM60 bilion yang ditetapkan di bawah Dasar Koperasi Malaysia 2030, malah berjaya dicapai lebih awal daripada tempoh yang disasarkan. Ini membuktikan bahawa gerakan koperasi mampu bersaing apabila diberikan peluang dan sokongan yang sewajarnya,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan membuka ruang, akses dan peluang yang lebih luas kepada gerakan koperasi untuk terlibat dalam perolehan kerajaan, pembangunan industri strategik, agenda keterjaminan makanan, transformasi digital serta pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi negara.
“Kita tidak meminta layanan istimewa atau keistimewaan. Apa yang kita harapkan ialah peluang yang adil, pengiktirafan yang setimpal serta kepercayaan yang sewajarnya berdasarkan rekod pencapaian, keupayaan dan sumbangan besar gerakan koperasi kepada negara,” jelasnya.
Hadir sama ialah Pengarah Bahagian Penyeliaan dan Tadbir Urus Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) yang mewakili Ketua Pegawai Eksekutif SKM (hadir secara dalam talian), Encik Zahir Dahari, Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Naib-naib Presiden ANGKASA, iaitu Datuk Haji Mohamad Ali Hasan, Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Dato’ Haji Che Mohd Shukree Che Isa dan Dato’ Haji Ibrahim Haji Abdullah serta Anggota Lembaga ANGKASA (wakil Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi), Haji Azizul Alias dan Anggota Lembaga ANGKASA (wakil Kementerian Kewangan), Encik Ezleezan Othman.
Turut hadir ialah barisan Jawatankuasa Tadbir Kebangsaan ANGKASA, barisan Jawatankuasa Audit Dalaman ANGKASA yang diketuai Pengerusinya, Dato’ Haji Shaharudin Mohd Sa’ad, Pengerusi MAPA, Dato’ (Dr.) Haji Mustafha Abd. Razak, Timbalan Pengerusi MAPA, Datuk Haji Haron Haji Abdullah, anggota Jawatankuasa ANGKASA Negeri, barisan Jurucakap Negeri, Penasihat-penasihat Korporat ANGKASA serta pengurusan kanan ANGKASA yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh.








