Thursday, April 16, 2026
HomeAKTIVITISokong Dasar Perumahan Melaka: KPDAG Tawar Rumah Mampu Milik Serendah RM236 Ribu

Sokong Dasar Perumahan Melaka: KPDAG Tawar Rumah Mampu Milik Serendah RM236 Ribu

Kerajaan Negeri Melaka terus memperkukuh dasar perumahan bagi memastikan penyediaan kediaman yang mencukupi dan mampu dimiliki, khususnya dalam kalangan golongan belia serta pasangan muda di negeri itu.

EXCO Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Awam Negeri Melaka merangkap ADUN Ayer Limau, YB Haji Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata permintaan terhadap perumahan semakin meningkat, sekali gus memerlukan pendekatan dasar yang lebih tersusun dan berkesan.

Menurut beliau, kerajaan negeri telah menetapkan beberapa syarat pembangunan bagi memastikan keseimbangan antara keperluan pasaran dan kemampuan rakyat.

“Bagi pembangunan perumahan melebihi 10 ekar, pemaju diwajibkan memperuntukkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada pembangunan sebagai rumah mampu milik selaras dengan dasar perumahan negeri,” katanya.

Beliau berkata, bagi projek yang melibatkan lebih 70 unit rumah, pemaju turut perlu menyediakan kemudahan infrastruktur asas yang ditetapkan kerajaan negeri, termasuk penyediaan tangki air sebagai langkah menghadapi kemungkinan gangguan bekalan air sekali gus memastikan penduduk masih mempunyai bekalan untuk kegunaan harian.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pra Pelancaran Jualan Projek Perumahan Taman Seri Serunai di Alor Gajah, Melaka pada 4 April 2026.

Terdahulu, Pengerusi Koperasi Pembangunan Daerah Alor Gajah Berhad (KPDAG) merangkap Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail, berkata projek perumahan mampu milik itu dibangunkan oleh KPDAG dengan kerjasama MyANGKASA Bina Sdn. Bhd., serta disokong pembiayaan oleh Koperasi Pembiayaan Syariah ANGKASA Berhad (KOPSYA). Di samping itu, projek tersebut merupakan inisiatif rintis ANGKASA dalam membantu kerajaan menyediakan lebih banyak rumah mampu milik kepada rakyat.

Menurut beliau, projek yang dibangunkan di atas tanah seluas 1.6 hektar (3.84 ekar) itu melibatkan pembinaan 46 unit rumah, terdiri daripada 30 unit rumah teres dua tingkat dan 16 unit rumah teres satu tingkat, dengan keluasan binaan antara 20 kaki x 60 kaki hingga 20 kaki x 65 kaki.

Katanya, harga permulaan bagi rumah teres satu tingkat ditawarkan sekitar RM236,000, manakala rumah teres dua tingkat bermula sekitar RM333,000, sekali gus menjadikannya antara projek perumahan mampu milik yang kompetitif di kawasan tersebut.

Tambah beliau, projek berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2026.

Hadir sama ialah Penolong Pegawai Wilayah Masjid Tanah / Alor Gajah, Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Negeri Melaka, Puan Siti Fatimah Othman, Pengerusi MyANGKASA Bina merangkap Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Che Mohd. Shukree Che Isa, Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri Melaka, Haji Zaidan Haji Abd. Hadi, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh, Ahli-ahli Lembaga KOPSYA, Tuan DSP (B) Suhaimi Haji Ahmad dan Puan Norizah Abdullah, barisan Lembaga Pengarah MyANGKASA Bina, Pengurus Besar Kanan Kumpulan Pembangunan Koperasi ANGKASA, Haji Nor Azmi Abd Jalil serta barisan Pengurusan MyANGKASA Bina yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Encik Azrul Hisyam Munap.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine