Friday, April 24, 2026
HomeUncategorizedKoperasi Pemacu Kelestarian Perniagaan Keluarga – ANGKASA

Koperasi Pemacu Kelestarian Perniagaan Keluarga – ANGKASA

Koperasi diiktiraf sebagai model strategik dalam memastikan kelangsungan perniagaan keluarga merentasi generasi, selaras dengan tuntutan ekonomi masa depan yang lebih inklusif dan mampan.

Naib Presiden ANGKASA, Datuk Haji Mohamad Ali Hasan, mewakili Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, menyampaikan perkara tersebut dalam ucaptama sempena The 3rd Family Business Sustainability & Entrepreneurship Conference (FBSEC) 2026 di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur hari ini (23 April 2026).

Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri.

Datuk Haji Mohamad Ali memaklumkan bahawa perniagaan keluarga menyumbang lebih 70 peratus kepada KDNK global dan menyediakan sekitar 60 peratus peluang pekerjaan, namun berdepan cabaran besar untuk kekal relevan melepasi generasi ketiga.

Menurut beliau, kelangsungan ini memerlukan asas yang lebih kukuh melangkaui keusahawanan, termasuk tadbir urus berkesan, struktur organisasi yang mantap serta kestabilan institusi—peranan yang dapat diperkasakan melalui model koperasi.

Koperasi berfungsi sebagai pemangkin pengukuhan perniagaan keluarga melalui perkongsian sumber, pengurusan risiko yang lebih sistematik serta peluasan akses pasaran. Di Malaysia, lebih 16,000 koperasi dengan keanggotaan melebihi tujuh juta mencerminkan kepentingan sektor ini dalam ekonomi negara.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak untuk terus memperkasa peranan koperasi sebagai pemacu ekonomi yang mampan, inklusif dan berdaya tahan demi kesejahteraan generasi akan datang.

FBSEC 2026 ialah persidangan utama selama dua hari yang menghimpunkan pemilik perniagaan keluarga, generasi pewaris, pembuat dasar, ahli akademik dan pemain industri. Persidangan ini juga memberi tumpuan kepada bagaimana perniagaan keluarga boleh berkembang secara mampan serta kesinambungan antara generasi. la juga menekankan peranan penting wanita dalam memastikan perniagaan keluarga kekal relevan dan berdaya tahan.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine