Wednesday, May 13, 2026
HomeAGENSIRaja Perlis Berkenan Rasmikan NAT Antarabangsa ANGKASA Perlis 2026

Raja Perlis Berkenan Rasmikan NAT Antarabangsa ANGKASA Perlis 2026

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail berkenan mencemar duli merasmikan NAT Antarabangsa ANGKASA Perlis 2026 dalam satu majlis gilang-gemilang yang berlangsung di Pasar Terapung JPS Perlis, Kangar pada 3 Mei 2026.

Dalam titah baginda, Tuanku merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) serta Kerajaan Negeri Perlis atas komitmen dan sokongan padu dalam menjayakan program yang berlangsung dari 1 hingga 3 Mei tersebut.

Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri (JKAN) Perlis, Dr. Ammar Hassan serta seluruh warga ANGKASA yang diketuai Presidennya, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah atas cetusan idea menganjurkan program bertaraf antarabangsa tersebut.

Menurut baginda, pendekatan berkenaan adalah bijaksana dan bertepatan dengan keperluan semasa kerana menggabungkan wacana pemikiran dengan aktiviti ekonomi rakyat.

“Beta dimaklumkan bahawa program ini bukan sahaja menampilkan wacana ilmiah, malah turut diserikan dengan pameran dan jualan koperasi yang melibatkan penyertaan dari empat negara iaitu Malaysia, Thailand, Indonesia dan China,” titah baginda.

Baginda turut berasa gembira dengan penganjuran Program Jualan Rahmah MADANI yang berlangsung sepanjang tempoh program tersebut, yang menyediakan barangan keperluan asas kepada rakyat pada harga berpatutan, sekali gus membantu meringankan kos sara hidup masyarakat setempat serta mencerminkan semangat koperasi yang prihatin.

“Beta merakamkan penghargaan kepada Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah atas usaha dan fokus menjadikan Negeri Perlis sebagai pusat dagangan baharu serantau, di samping menjadikan NAT sebagai produk pelancongan yang berdaya saing,” titah baginda.

Baginda turut menyatakan harapan agar Negeri Perlis berpotensi muncul sebagai hab perdagangan serantau yang signifikan, malah mampu menjadi pintu gerbang kepada negara-negara ASEAN, seumpama peranan yang dimainkan oleh Dubai di peringkat antarabangsa.

Kedudukan strategik Negeri Perlis di utara Semenanjung Malaysia yang bersempadan dengan Thailand, disertai sokongan pelbagai pihak, diyakini mampu mengangkat negeri ini sebagai pusat dagang, inovasi dan pertemuan ekonomi serantau yang membuka peluang lebih luas ke peringkat global.

Terdahulu, Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, dalam ucapannya berkata penganjuran NAT Antarabangsa ANGKASA Perlis 2026 merupakan satu inisiatif perintis dan yang pertama seumpamanya di Malaysia, sekali gus mencatat sejarah baharu dalam gerakan koperasi negara.

Beliau berkata pendekatan progresif itu memperkasakan konsep pasar komuniti tempatan agar berkembang menjadi platform perniagaan yang lebih tersusun dan moden, sekali gus membuktikan bahawa konsep tradisional seperti “nat” masih relevan serta berpotensi untuk dimajukan sebagai produk ekonomi dan pelancongan.

Program tersebut melibatkan penyertaan sebanyak 50 gerai koperasi dan usahawan dari Malaysia, Thailand, Indonesia dan China, sekali gus menjadi platform strategik untuk memperkukuh jaringan perdagangan rentas sempadan serta memperkenalkan produk koperasi ke pasaran yang lebih luas.

Sepanjang tiga hari penganjuran, program tersebut mencatatkan nilai jualan antara RM300,000 hingga RM500,000 dengan kehadiran kira-kira 10,000 pengunjung.

Penganjuran NAT Antarabangsa ANGKASA Perlis 2026 selaras dengan aspirasi untuk menjadikan koperasi sebagai pemacu perniagaan berimpak tinggi, di samping membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta merancakkan sektor pelancongan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Perlis di bawah kepimpinan Menteri Besar, Tuan Abu Bakar Hamzah atas sokongan berterusan terhadap pembangunan gerakan koperasi negeri.

Majlis tersebut turut diserikan dengan pelbagai pengisian menarik termasuk simbolik peluncuran NAT Antarabangsa, sesi cabutan bertuah serta pertukaran memorandum persefahaman (MoU) yang membuka peluang kerjasama strategik.

Antara MoU yang dimeterai ialah antara Koperasi Kakitangan PETRONAS Berhad (KOPETRO) dengan Koperasi Usahawan Ijtima’i Perlis Berhad serta antara Koperasi Usahawan Ijtima’i Perlis Berhad dengan Oz Seventy Five Holding.

Majlis tersebut turut diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Menteri Besar Perlis, Tuan Abu Bakar Hamzah dan isteri, Puan Paridah Ibrahim, Yang Amat Mulia Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail, Speaker Dewan Undangan Negeri, Tuan Rus’sele Eizan serta Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Dato’ Noor Azman Abdul Rahman.

Hadir sama ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Naib-naib Presiden ANGKASA, iaitu Dato’ Haji Kamarudin Ismail dan Dato’ Haji Ibrahim Haji Abdullah, barisan Jawatankuasa Tadbir Kebangsaan ANGKASA serta barisan JKAN Perlis yang diketuai oleh Pengerusinya, Dr. Ammar Hassan.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine