Wednesday, May 13, 2026
HomeAKTIVITIYayasan ANGKASA Perkasa Graduan Holistik Melalui Kursus Kerjaya dan Keusahawanan 2026

Yayasan ANGKASA Perkasa Graduan Holistik Melalui Kursus Kerjaya dan Keusahawanan 2026

Generasi muda perlu berani keluar daripada zon selesa dan merebut peluang dalam bidang keusahawanan serta koperasi yang kian berkembang. Sektor ini bukan sahaja menawarkan ruang kerjaya yang luas, malah berperanan penting dalam menjana ekonomi komuniti dan negara. Program seperti ini mampu membentuk graduan yang seimbang dari segi akademik, kemahiran praktikal serta kepimpinan.

Demikian ucapan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Mohamad Alamin ketika merasmikan Majlis Perasmian Kursus Pensijilan Pengurusan Koperasi serta Bimbingan Kerjaya dan Keusahawanan Pelajar Pembiayaan Pendidikan Yayasan ANGKASA Sesi 2026.

Majlis yang berlangsung dengan penuh gemilang di Wyndham Garden i-City, Shah Alam pada 4 Mei 2026 turut dihadiri Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi Yayasan ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah.

Datuk Seri Dr. Abdul Fattah dalam ucapan aluannya menegaskan komitmen Yayasan ANGKASA dalam membangunkan modal insan berkualiti melalui pendidikan dan latihan berterusan. Beliau menyifatkan pelaburan dalam pendidikan sebagai usaha jangka panjang untuk melahirkan pemimpin koperasi yang berilmu, berintegriti dan berdaya tahan.

Beliau turut menggalakkan pelajar memanfaatkan peluang yang ada dengan meningkatkan kemahiran, membina jaringan serta berani menceburi bidang keusahawanan koperasi. Menurutnya, kejayaan graduan bukan hanya bergantung kepada akademik, tetapi juga keupayaan menyumbang kepada masyarakat dan ekonomi negara.

Program pada tahun ini turut menampilkan kelainan menerusi pengisian baharu yang lebih dinamik dan relevan, antaranya sesi bual bicara bertemakan “Voice of Future Leaders”. Sesi tersebut memberi peluang kepada pelajar untuk berinteraksi secara langsung dengan kepimpinan tertinggi koperasi negara serta mendapatkan pandangan dan perkongsian pengalaman sebenar daripada tokoh industri.

Seramai 90 orang pelajar tahun akhir di bawah pembiayaan pendidikan Yayasan ANGKASA dari seluruh negara telah menyertai program berimpak tinggi ini. Kursus tersebut merupakan inisiatif tahunan yang bertujuan memberi pendedahan menyeluruh kepada pelajar dalam aspek pengurusan koperasi, keusahawanan serta persediaan kerjaya sebelum melangkah ke alam pekerjaan sebenar.

Melalui kerjasama strategik bersama Institut Koperasi Malaysia (IKMa), kursus ini dirangka dengan pengisian yang lebih komprehensif merangkumi pensijilan pengurusan koperasi, pembangunan kemahiran insaniah serta penerapan pemikiran keusahawanan. Pendekatan ini dilihat mampu melahirkan graduan yang holistik, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran ekonomi semasa.

Dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan, Yayasan ANGKASA juga memperkenalkan simulasi temuduga bersama pihak industri. Inisiatif ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai situasi sebenar temuduga pekerjaan di samping membantu meningkatkan keyakinan diri serta kemahiran komunikasi yang efektif.

Penganjuran kursus ini jelas mencerminkan komitmen berterusan Yayasan ANGKASA dalam melahirkan generasi muda koperasi yang berkualiti tinggi. Para pelajar bukan sahaja didedahkan kepada ilmu akademik, malah diperkasa dengan kemahiran praktikal, kepimpinan serta nilai keusahawanan yang mampu menjadikan mereka pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara.

Seiring dengan perkembangan sektor koperasi yang semakin signifikan, para pelajar juga digalakkan untuk melihat bidang ini sebagai satu cabang kerjaya yang berpotensi besar serta platform untuk mencipta peluang ekonomi baharu pada masa hadapan.

Sejak tahun 2000 hingga 2024, seramai 1,898 pelajar telah menerima tajaan dengan jumlah pembiayaan mencecah RM34.95 juta, bagi tahun 2025, seramai 197 pelajar baharu menerima pembiayaan berjumlah RM2.576 juta, menjadikan keseluruhan 2,095 pelajar telah mendapat manfaat dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM37.53 juta.

Hadir sama ialah, Ketua Pengarah IKMa, Datuk Mohd Ali Mansor, Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan ANGKASA yang terdiri daripada Datuk Haji Mohamad Ali Hasan, Datuk Haji Md. Yusof Haji Samsudin, Tuan Haji Nasir Khan Yahya, Datuk Syed Azmin Syed Nazir Al Husaini, Dato’ Haji Zazali Haron, Dato’ Fahrul Rohman Ahmad dan Dato’ Hajah Rosni Zahari, Pengerusi ANGKASA Negeri Wilayah Persekutuan, Puan Sharifah Aminah Syed Mohssain dan Pengerusi ANGKASA Negeri  Selangor, Prof. Dr. Haji Mansor Ahmad.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine