Thursday, May 14, 2026
HomeUncategorizedKoperasi Platform Strategik Perkasa Kepimpinan Belia Negara

Koperasi Platform Strategik Perkasa Kepimpinan Belia Negara

Penglibatan aktif generasi muda dalam gerakan koperasi bukan sekadar pilihan, tetapi satu keperluan strategik bagi memastikan kesinambungan pembangunan negara.

Demikian ucapan Ketua Pengarah Akademi Kenegaraan Negara Malaysia, Dato’ Dr. Haji Roslan Hussin ketika merasmikan Kursus Kenegaraan dan Kepimpinan Belia: Memperkasa Generasi Koperasi dalam Pembangunan Negara di Wyndham Garden, I-City, Shah Alam, Selangor pada hari ini (5 Mei 2026).

Seramai 90 orang pelajar tahun akhir di bawah pembiayaan pendidikan Yayasan ANGKASA dari seluruh negara telah menyertai program berimpak tinggi ini bagi melahirkan generasi belia yang berpengetahuan, berkemahiran dan bersedia memainkan peranan aktif dalam pembangunan negara melalui platform koperasi.

Turut hadir ialah Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan ANGKASA, Datuk Haji Mohamad Ali Hasan yang mewakili Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah.

Dalam ucapannya, Dato’ Dr. Haji Roslan menjelaskan bahawa kursus berkenaan dirangka secara komprehensif bagi memberikan pendedahan menyeluruh kepada para peserta merangkumi aspek kenegaraan, kepimpinan serta peranan strategik koperasi dalam menyokong agenda pembangunan negara.

Beliau turut menegaskan bahawa kepimpinan merupakan satu amanah besar yang menuntut kejujuran, keberanian dan kebijaksanaan dalam membuat keputusan yang memberi impak positif kepada masyarakat dan negara.

Sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI, beliau menyarankan agar gerakan koperasi terus diperkasa melalui transformasi digital termasuk pengadaptasian e-dagang, sistem pengurusan moden serta inovasi dalam strategi pemasaran bagi meningkatkan kecekapan operasi dan memperluas akses pasaran.

Sementara itu, Datuk Haji Mohamad Ali dalam ucapannya menekankan bahawa belia merupakan aset terpenting dalam memastikan kelangsungan dan daya saing gerakan koperasi negara. Beliau menyeru agar para peserta memanfaatkan peluang yang diberikan oleh Yayasan ANGKASA ini untuk membina jaringan, meningkatkan kemahiran kepimpinan serta berani meneroka bidang keusahawanan koperasi yang mampu memberi impak langsung kepada ekonomi komuniti.

Mengakhiri majlis, para peserta diseru agar memanfaatkan sepenuhnya ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang kursus ini untuk menjadi agen perubahan yang mampu menyumbang kepada pembangunan komuniti dan negara.

Hadir sama ialah Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan ANGKASA iaitu Datuk Haji Md. Yusof Haji Samsudin, Tuan Haji Nasir Khan Yahya, Datuk Syed Azmin Syed Nazir Al Husaini, Dato’ Haji Zazali Haron, Dato’ Fahrul Rohman Ahmad, Dato’ Hajah Rosni Zahari dan Pengurus Besar Yayasan ANGKASA, Puan Haslinda Haji Ahmad.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine