Wednesday, May 13, 2026
HomeAGENSIANGKASA Terima Pengiktirafan Berprestij di BiSA Awards 2026, Perkukuh Peranan Koperasi Sebagai...

ANGKASA Terima Pengiktirafan Berprestij di BiSA Awards 2026, Perkukuh Peranan Koperasi Sebagai Pemacu Ekonomi Rakyat

Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) terus melakar kejayaan apabila menerima pengiktirafan berprestij dalam majlis Bisnes Sinar Harian (BiSA) Awards Gala Night 2026 bagi kategori Corporate Sustainability Award: Sustainable Cooperative Excellence yang berlangsung di Hotel Royale Chulan Damansara, Selangor pada 6 Mei 2026. 

Pengiktirafan ini menjadi simbol kepercayaan tinggi terhadap peranan ANGKASA sebagai peneraju pembangunan ekosistem koperasi yang mampan dan inklusif di Malaysia.

Majlis anugerah anjuran Sinar Harian di bawah Kumpulan Karangkraf ini menghimpunkan pemimpin negara, pemain industri serta usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang menjadi tulang belakang ekonomi negara.

BiSA Awards 2026 bukan sekadar platform penghargaan, malah menjadi wadah penting dalam mengiktiraf sumbangan signifikan PMKS terhadap pertumbuhan ekonomi, penciptaan peluang pekerjaan dan pembangunan komuniti.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Encik Steven Sim Chee Keong menyifatkan pengiktirafan yang diterima oleh agensi dan organisasi di pentas BiSA Awards 2026 sebagai satu pencapaian yang membanggakan serta bukti jelas bahawa Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) negara berada di landasan yang tepat dalam menyokong pembangunan ekonomi rakyat.

Beliau menegaskan bahawa anugerah ini mencerminkan kejayaan usaha bersepadu dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan yang lebih mampan, inklusif dan berdaya saing, selari dengan aspirasi kerajaan untuk memperkasakan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara, sekali gus memberi impak positif kepada kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh.

Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah dalam ucapannya menegaskan bahawa pengiktirafan yang diterima membawa makna yang besar kepada gerakan koperasi negara.

Menurut beliau, anugerah ini bukan sahaja mencerminkan penghargaan terhadap usaha berterusan ANGKASA, malah mengiktiraf keberkesanan peranannya dalam memperkukuh koperasi melalui aspek tadbir urus, pendigitalan, pembangunan kapasiti dan pengukuhan rantaian perniagaan.

Tambah beliau, koperasi kini semakin relevan sebagai model ekonomi yang inklusif dan berimpak tinggi, khususnya dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa. Melalui pendekatan strategik yang dilaksanakan, ANGKASA berjaya mengarusperdanakan koperasi sebagai platform keusahawanan yang memberi peluang kepada masyarakat menjana pendapatan serta meningkatkan kesejahteraan hidup secara kolektif.

Pengiktirafan di pentas BiSA Awards ini turut dilihat sebagai pemangkin kepada ANGKASA untuk memperluas jaringan kerjasama strategik bersama agensi kerajaan, pemain industri dan rakan antarabangsa sekali gus memperkukuh akses pasaran, pelaburan serta inovasi dalam sektor koperasi.

Seiring dengan aspirasi pembangunan negara, ANGKASA komited untuk terus memastikan gerakan koperasi kekal berdaya tahan, relevan dan berupaya menyumbang secara signifikan kepada kemakmuran ekonomi rakyat.

Sebanyak 31 agensi dan organisasi telah menerima pengiktirafan dalam Bisnes Sinar Harian (BiSA) Awards 2026, mencerminkan kepelbagaian sektor yang memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Hadir sama di majlis tersebut ialah Pengerusi Karangkraf, Puan Firdaus Hussamuddin serta Pengurus Besar Bahagian Korporat ANGKASA merangkap Pegawai Khas kepada Presiden ANGKASA, Encik Halim Haji Ibrahim.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine