Wednesday, May 13, 2026
HomeUncategorizedANGKASA - BAZNAS Sumatera Barat Mahu Kerjasama Lebih Erat Majukan Koperasi Kariah...

ANGKASA – BAZNAS Sumatera Barat Mahu Kerjasama Lebih Erat Majukan Koperasi Kariah Masjid

ANGKASA dan Badan Amil Zakat Nasional (BAZNAS) Republik Indonesia bagi wilayah Sumatera Barat setuju untuk terus menjalin kesepakatan dan membentuk kerjasama lebih erat dalam memperkasakan Koperasi Kariah Masjid.

Naib Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi Kumpulan Pembangunan Koperasi ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail, berkata ANGKASA akan terus memberikan sokongan dan dorongan berteraskan semangat ASEAN dan ummah selain mencari peluang ekonomi baharu bagi meningkatkan taraf sosioekonomi anggota koperasi.

Beliau berkata demikian dalam sesi perbincangan bersama Wakil Ketua I BAZNAS Kota Bukittinggi, Masdiwar S.Pd.i dan Wakil Ketua II, Yandri Gusdianto SH Dt. Alang Batuah di Bukittinggi pada 9 Mei 2026.

Sesi tersebut turut mengutarakan beberapa cadangan kerjasama ekonomi yang boleh disertai ANGKASA secara langsung menerusi platform Koperasi Kariah Masjid.

Antara perkara yang diberi penekanan ialah usaha mewujudkan rantaian produk dan perkhidmatan halal melalui Koperasi Kariah Masjid sebagai langkah memperkukuh ekonomi komuniti setempat.

Sementara itu, Wakil Ketua IV BAZNAS Sumatera Barat, Drs. Nurman Agus turut hadir menyampaikan penghargaan kepada ANGKASA atas sumbangan yang disalurkan kepada mangsa banjir di wilayah berkenaan.

Beliau turut menghargai usaha dan sokongan berterusan ANGKASA dalam membantu menjayakan agenda pembangunan ekonomi Koperasi Kariah Masjid khususnya di Sumatera Barat.

Turut sama dalam kedua-dua sesi pertemuan ringkas tersebut ialah Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Ibrahim Haji Abdullah, Pengurus Hubungan Masyarakat BAZNAS, Tuan Haji Yudhi Arma M.K dan Pengurus Kanan Bahagian Pembangunan Koperasi Kariah Masjid ANGKASA, Ustaz Safian Abdul Rahman.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine