Perbincangan Meja Bulat bertajuk “Belanjawan Negara: Di Mana Gerakan Koperasi?” anjuran ANGKASA pada 11 Jun 2026 menjadi platform untuk meneliti keperluan, cabaran dan aspirasi gerakan koperasi menjelang penyediaan Belanjawan 2027.
Program yang berlangsung di Auditorium ANGKASA, Wisma Ungku A. Aziz, Kelana Jaya itu diadakan sempena Konvensyen Konsultasi Belanjawan Koperasi Malaysia 2027.
Perbincangan tersebut menampilkan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Saidatu Akhma Hassan, Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah serta Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM), Prof. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali sebagai ahli panel. Sesi berkenaan dikendalikan oleh moderator, Tuan Syed Munawar Syed Mustar.
Datuk Saidatu berkata, sudah tiba masanya gerakan koperasi diberikan pengiktirafan yang sewajarnya memandangkan hampir 90 peratus koperasi di negara ini terdiri daripada koperasi berskala kecil dan sederhana yang berpotensi untuk diperkasakan menerusi agenda penskalaan perniagaan.
“Kementerian sentiasa berusaha membawa pelbagai cadangan dan inisiatif ke peringkat yang lebih tinggi supaya perkara-perkara penting yang melibatkan gerakan koperasi diberi perhatian dan pertimbangan sewajarnya,” katanya.
Menurut beliau, sekiranya gerakan koperasi mahu mengetengahkan keperluannya di peringkat yang lebih tinggi, perhatian perlu diberikan kepada usaha menskalakan koperasi kecil dan sederhana selaras dengan agenda utama kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Katanya, antara cabaran yang dihadapi gerakan koperasi ketika ini ialah kedudukannya yang masih belum menerima pengiktirafan setara dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) walaupun menjalankan aktiviti perniagaan pada skala yang hampir sama.
“Apabila bercakap mengenai PKS, bukan soal siapa pemainnya, tetapi saiz perniagaan itu sendiri. Justeru, koperasi juga wajar diberikan pertimbangan yang sama berdasarkan skala operasi dan kapasiti perniagaan masing-masing,” katanya.
Dalam pada itu, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah berharap kerajaan memberikan perhatian yang lebih besar kepada gerakan koperasi selaras dengan sokongan yang diberikan kepada kumpulan ekonomi lain.
“Kita berharap kerajaan memberikan perhatian kepada koperasi selaras dengan apa yang diberikan kepada kumpulan-kumpulan lain.
“Jika usahawan individu melalui sektor perusahaan kecil dan sederhana menerima pelbagai insentif, kemudahan pembiayaan dan program pembangunan, maka gerakan koperasi sebagai usahawan berkumpulan juga sewajarnya menerima peluang yang sama,” katanya.
Sementara itu, Prof. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Azlan berpandangan bahawa koperasi boleh dimanfaatkan sebagai mekanisme pelaksanaan bagi menangani pelbagai agenda nasional termasuk sekuriti makanan dan kelestarian alam sekitar.
Menurut beliau, koperasi mempunyai jaringan akar umbi yang luas dan berupaya menjadi saluran berkesan dalam membantu kerajaan menyelesaikan pelbagai cabaran pembangunan negara.
Perbincangan itu turut memberi tumpuan kepada kekangan perundangan yang dihadapi gerakan koperasi, termasuk sembilan akta di bawah sembilan kementerian yang mengehadkan keupayaan koperasi untuk berkembang dan bersaing dalam sektor perniagaan.
Datuk Saidatu berkata, antara isu utama yang dibangkitkan ialah kedudukan koperasi yang masih belum diiktiraf setara sebagai entiti perniagaan dalam pelbagai dasar dan mekanisme kerajaan.
Menurut beliau, perbezaan kedudukan koperasi berbanding syarikat dari sudut perundangan dan kawal selia menyebabkan koperasi tidak menerima pengiktirafan yang sama seperti entiti yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
“Sehingga hari ini, koperasi masih belum dilihat sebagai entiti perniagaan dalam beberapa konteks dasar dan pentadbiran kerajaan. Perkara ini perlu diberikan perhatian kerana memberi kesan kepada akses koperasi terhadap pelbagai insentif, kemudahan dan peruntukan pembangunan yang disediakan kerajaan,” katanya.
Hadir sama ialah Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Modal Insan) Institut Koperasi Malaysia, Encik Mohd Zaib Mat Yunus, Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Naib-naib Presiden ANGKASA, iaitu Dato’ Haji Kamarudin Ismail dan Dato’ Haji Ibrahim Haji Abdullah, barisan Jawatankuasa Tadbir Kebangsaan ANGKASA serta wakil koperasi.










































