Thursday, June 11, 2026
HomeAGENSIANGKASA Himpun Suara Koperasi Untuk Belanjawan Negara 2027

ANGKASA Himpun Suara Koperasi Untuk Belanjawan Negara 2027

ANGKASA menghimpunkan pandangan, cadangan dan aspirasi gerakan koperasi menerusi Konvensyen Konsultasi Belanjawan Koperasi Malaysia 2027 sebagai usaha memastikan suara sektor tersebut diambil kira dalam penyediaan Belanjawan 2027.

Resolusi konvensyen itu diserahkan oleh Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah kepada Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), YB Datuk Mohamad Alamin pada Majlis Perasmian Penutupan dan Penyerahan Resolusi yang berlangsung di Wisma Ungku A. Aziz, Kelana Jaya pada 11 Jun 2026.

Konvensyen yang menghimpunkan pemimpin dan wakil koperasi daripada pelbagai sektor di seluruh negara itu menjadi platform untuk mengemukakan cadangan berkaitan dasar, peruntukan dan inisiatif yang wajar diberi perhatian dalam Belanjawan 2027.

Dalam ucapannya, YB Datuk Mohamad berkata, gerakan koperasi merupakan antara penyumbang penting kepada ekonomi negara dan wajar diberikan pengiktirafan yang sewajarnya oleh kerajaan.

“Satu fakta yang tidak boleh dinafikan ialah gerakan koperasi turut menyumbang kepada pendapatan negara dengan sumbangan sebanyak 3.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya.

Beliau turut menyatakan sokongan peribadi terhadap usaha ANGKASA memperjuangkan keperluan gerakan koperasi agar diberikan perhatian dalam penyediaan Belanjawan 2027.

Beliau berkata, sektor koperasi bukan sekadar pelengkap kepada ekonomi negara, sebaliknya memainkan peranan yang signifikan dalam memperkukuh pembangunan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.

Justeru, katanya, pendekatan yang lebih mesra dan inklusif perlu diterapkan bagi meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap peranan serta potensi gerakan koperasi.

Sementara itu, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah berkata, resolusi yang dikemukakan hasil konvensyen tersebut bertujuan memastikan suara gerakan koperasi diberi perhatian dan dipertimbangkan oleh kerajaan dalam Belanjawan 2027.

“Daripada resolusi yang dibentangkan, kita berharap Belanjawan 2027 mengandungi kenyataan dasar yang jelas mengenai pengiktirafan terhadap gerakan koperasi. Kita tidak mahu pengiktirafan itu sekadar melepaskan batuk di tangga, sebaliknya diterjemahkan melalui tindakan, dasar dan peruntukan yang bersesuaian,” katanya.

“Jika kerajaan benar-benar mahu mengiktiraf peranan koperasi sebagai sektor ketiga ekonomi negara, peruntukan yang diberikan perlu dipertingkatkan dan koperasi perlu menerima layanan yang lebih saksama termasuk akses kepada insentif yang turut dinikmati sektor PKS,” jelasnya.

Menurut beliau lagi, bagi meningkatkan sumbangan koperasi kepada KDNK negara pada tahap yang lebih kompetitif, gerakan koperasi memerlukan peruntukan pembangunan yang lebih besar.

Katanya, sektor koperasi berpotensi menjadi rakan strategik kerajaan dalam memperkukuh sektor peruncitan, meningkatkan sekuriti makanan serta mempercepat agenda pendigitalan negara, justeru peruntukan sekurang-kurangnya RM500 juta diperlukan bagi memperkasakan peranan tersebut.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) KUSKOP, Datuk Saidatu Akhma Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Puan Noor Afifah Abdul Razak, Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Modal Insan) Institut Koperasi Malaysia, Encik Mohd Zaib Mat Yunus, Naib-naib Presiden ANGKASA, iaitu Dato’ Haji Che Mohd Shukree Che Isa dan Dato’ Haji Ibrahim Haji Abdullah, barisan Pengerusi ANGKASA Negeri, barisan Jawatankuasa Audit Dalaman ANGKASA serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine