Program Konvensyen Konsultasi Belanjawan Koperasi Malaysia 2027 anjuran ANGKASA diteruskan dengan penganjuran Sesi Dialog Belanjawan 2026 bertemakan “Pencapaian dan Cabaran”.
Sesi dialog yang berlangsung di Auditorium ANGKASA, Wisma Ungku A. Aziz, Kelana Jaya itu menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Puan Noor Afifah Abdul Razak; Naib Presiden Eksekutif Pembangunan Perniagaan Koperasi dan Mikro, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat), Dr. Haji Mazdhee Mohamad Hussain; Ketua Pegawai Eksekutif Co-opbank Pertama (CBP), Encik Khairil Anuar Mohammad Anuar; serta Naib Presiden Kanan Jabatan Perbankan Runcit, Bank Simpanan Nasional (BSN), Puan Norainah Mohamad Zakuan sebagai ahli panel.
Dialog tersebut dikendalikan oleh Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik selaku moderator.
Konvensyen ini membincangkan pelbagai strategi untuk meningkatkan prestasi koperasi serta menangani cabaran yang dihadapi oleh gerakan koperasi di negara ini.
Puan Noor Afifah memaklumkan bahawa koperasi berpeluang memanfaatkan pelbagai inisiatif kerajaan seperti Program Sejati MADANI dan Tabung Modal Pusingan yang masih mempunyai baki peruntukan melalui proses permohonan yang ditetapkan.
Beliau turut menegaskan bahawa SKM sentiasa terbuka menerima cadangan daripada pelbagai pihak bagi memperkasakan sektor koperasi.
Malah, SKM kini sedang berusaha mendapatkan pelepasan cukai untuk koperasi supaya dana yang dijimatkan dapat digunakan semula bagi memperluaskan aktiviti perniagaan dan meningkatkan daya saing koperasi.
Selain itu, isu pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dianggap kurang sesuai untuk sesetengah koperasi turut dibincangkan bersama Kementerian Kewangan (MOF).
Cadangan turut dikemukakan supaya subsidi diberikan kepada koperasi yang menjalankan aktiviti perkhidmatan, termasuk koperasi yang mengendalikan perkhidmatan feri dan lain-lain.
Menurut Dr. Haji Mazdhee, koperasi perlu lebih peka terhadap pelbagai dana dan kemudahan pembiayaan yang disediakan oleh institusi kewangan bagi membantu memperkukuhkan operasi dan mengembangkan perniagaan mereka.
Koperasi yang merangkumi pelbagai kluster perlu terus mendapat sokongan daripada institusi perbankan termasuk Bank Rakyat.
Beliau turut memaklumkan bahawa Bank Rakyat kini sedang mempergiat usaha ke arah pembangunan perbankan digital bagi memperluaskan akses perkhidmatan kewangan kepada pelanggan.
Beliau merumuskan bahawa majoriti koperasi di Malaysia mempunyai ketahanan yang tinggi dan telah lama bertapak dalam sektor ekonomi negara.
Namun, bagi mencapai prestasi yang lebih memberangsangkan, koperasi perlu menikmati manfaat yang setara dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), selain diberi akses kepada pelbagai kemudahan yang ditawarkan oleh agensi kerajaan seperti TEKUN Nasional.
Sementara itu, Encik Khairil Anuar berkata, CBP sentiasa komited memastikan dana yang diterima dapat disalurkan secara efektif kepada koperasi daripada pelbagai sektor melalui kemudahan pembiayaan yang disediakan.
Beliau berkata, CBP kini berjaya menyalurkan jumlah pembiayaan kepada anggota koperasi yang melebihi sasaran yang ditetapkan.
“Pembiayaan yang ditawarkan amat penting dalam memastikan aktiviti ekonomi terus berkembang seiring dengan sokongan kewangan yang disediakan.
Anggota lembaga institusi perbankan juga perlu diberikan kefahaman yang lebih jelas mengenai definisi, peranan dan hala tuju gerakan koperasi agar kekangan yang dihadapi koperasi dalam mendapatkan bantuan dapat dikurangkan,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa koperasi perlu terus memperkukuhkan keupayaan sendiri, manakala CBP sentiasa bersedia membantu apabila diperlukan.
Sementara itu, Puan Norainah berkata, BSN sebagai institusi kewangan milik kerajaan di bawah Kementerian Kewangan menyediakan pelbagai kemudahan termasuk Pembiayaan MADANI yang boleh dimanfaatkan oleh golongan belia, wanita dan veteran menerusi lebih 10 skim pembiayaan yang ditawarkan.
Menurut beliau, BSN turut menyediakan geran digital bagi membantu mempercepatkan transformasi digital dan meningkatkan daya saing perniagaan koperasi.
“BSN mempunyai lebih 600 cawangan di seluruh negara serta disokong oleh lebih 1,900 ejen. Selain menawarkan pembiayaan peribadi, BSN turut memberi tumpuan kepada pembangunan usahawan melalui penyediaan bantuan serta perkongsian ilmu dan kemahiran perniagaan kepada koperasi dan usahawan,” ujarnya.
Beliau turut berpandangan bahawa institusi kewangan milik kerajaan perlu memainkan peranan yang lebih besar dalam menyokong sektor koperasi sebelum platform pembiayaan dalam talian semakin mendominasi pasaran.
Hadir sama ialah Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Ibrahim Haji Abdullah, barisan Pengerusi ANGKASA Negeri serta barisan pengurusan kanan ANGKASA.

















