Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah menyeru seluruh warga kerja ANGKASA menjadikan sambutan Maal Hijrah sebagai titik permulaan untuk melakukan transformasi diri serta memperkukuh budaya kerja yang lebih cemerlang, berintegriti dan berorientasikan impak.
Seruan tersebut disampaikan ketika beliau menyampaikan amanat dalam Sesi Bersama Presiden Bulan Jun yang berlangsung di Auditorium ANGKASA hari ini, 15 Jun 2026. Menurut beliau, peristiwa hijrah Rasulullah SAW bukan sekadar perpindahan fizikal, malah membawa mesej yang besar tentang keberanian untuk berubah, memperbaiki kelemahan dan membina masa depan yang lebih baik.
Beliau berkata, semangat hijrah perlu diterjemahkan dalam konteks organisasi melalui perubahan sikap, pemikiran dan pendekatan kerja. Warga ANGKASA disaran berhijrah daripada zon selesa kepada budaya kerja yang lebih proaktif, daripada bekerja secara individu kepada semangat kerja berpasukan, serta daripada sekadar melaksanakan tugas kepada menghasilkan impak yang lebih besar kepada gerakan koperasi negara.
“Jika kita mahukan ANGKASA yang lebih cemerlang pada masa hadapan, perubahan itu perlu bermula daripada diri kita sendiri. Setiap tugas yang dilaksanakan bukan sekadar rutin harian, sebaliknya menjadi sumbangan penting kepada pembangunan gerakan ekonomi yang melibatkan jutaan anggota koperasi di seluruh negara,” katanya.
Dalam amanat tersebut, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah turut menegaskan bahawa nilai amanah merupakan teras utama kejayaan organisasi. Beliau mengingatkan bahawa setiap warga kerja perlu melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti dan kesedaran bahawa setiap amanah yang dipikul bukan sahaja dinilai oleh organisasi, malah akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT.
Menyentuh mengenai pelaksanaan Bekerja Dari Rumah (BDR), beliau menjelaskan bahawa fleksibiliti yang diberikan oleh organisasi perlu dimanfaatkan untuk meningkatkan produktiviti dan keberkesanan kerja. Menurut beliau, kepercayaan yang diberikan kepada kakitangan bukanlah satu hak mutlak, sebaliknya amanah yang perlu dibalas dengan prestasi, disiplin dan komitmen yang tinggi.
Beliau turut menegaskan bahawa cabaran terbesar dalam pelaksanaan BDR bukan terletak pada aspek teknologi atau lokasi bekerja, tetapi berkaitan integriti individu. Katanya, pekerja yang menghargai amanah akan terus melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab walaupun tanpa pemantauan, manakala kegagalan menjaga kepercayaan boleh menjejaskan keyakinan organisasi terhadap keseluruhan sistem kerja yang dilaksanakan.
Dalam pada itu, beliau menyeru seluruh warga ANGKASA agar memperkukuh budaya kerja berpasukan dan mengelakkan amalan bekerja secara silo. Menurutnya, kejayaan sesuatu program atau inisiatif tidak dapat dicapai secara bersendirian, sebaliknya memerlukan kerjasama erat antara semua bahagian dan unit dalam organisasi. Beliau menegaskan bahawa setiap kejayaan yang diraih merupakan kejayaan bersama, manakala setiap kelemahan perlu ditangani dan diperbaiki secara kolektif demi kepentingan organisasi.
Mengakhiri amanatnya, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah menekankan kepentingan pembangunan bakat dan kepimpinan bagi memastikan ANGKASA terus relevan serta kekal sebagai peneraju gerakan koperasi negara. Beliau berharap lebih ramai warga kerja tampil berani memimpin, menyumbang idea dan memikul tanggungjawab dalam membentuk masa depan organisasi.
Sesi Bersama Presiden Bulan Jun turut diisi dengan tayangan video aktiviti bulanan ANGKASA, taklimat mengenai Platform AlifPay, penyampaian sijil penghargaan dan cenderahati kepada kakitangan yang bersara, penyampaian Anugerah Kakitangan Terbaik Bulanan bagi Mei 2026, penyampaian hadiah sukan dalaman KESKA serta kuiz interaktif Kahoot.
Hadir sama ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Naib-naib Presiden ANGKASA, iaitu Dato’ Haji Kamarudin Ismail dan Dato’ Haji Ibrahim Haji Abdullah, Barisan Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri (JKAN), Penasihat Korporat (Sektor Kerajaan) ANGKASA, Dato’ Haji Mohd Nasiruddin Othman, Penasihat Korporat (Sektor Koperasi), Datuk Haji Md. Yusof Haji Samsudin serta barisan Pengurusan ANGKASA yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh.






















































