Kira-kira 5,000 perwakilan yang mewakili lebih 11,000 koperasi anggota ANGKASA bakal berhimpun dalam Mesyuarat Agung Perwakilan ANGKASA Ke-40 (MAPA 2026) yang akan diadakan secara hibrid di Auditorium ANGKASA, Wisma Ungku A. Aziz, Kelana Jaya pada 27 Jun 2026.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, MAPA merupakan platform penting bagi perwakilan koperasi menilai pencapaian ANGKASA, membincangkan cabaran semasa serta menentukan keutamaan dan hala tuju gerakan koperasi untuk tahun-tahun mendatang.
Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan di Wisma Ungku A. Aziz, Kelana Jaya pada 15 Jun 2026.
Menurut beliau, keputusan yang dicapai dalam MAPA bukan sahaja melibatkan aspek tadbir urus dan pentadbiran ANGKASA, malah turut memberi kesan kepada hala tuju pembangunan gerakan koperasi negara secara keseluruhan.
Sehubungan itu, katanya, penglibatan aktif perwakilan amat penting bagi memastikan setiap keputusan yang diambil selaras dengan aspirasi serta kepentingan gerakan koperasi.
Antara 12 agenda yang akan dibentangkan dalam MAPA 2026 ialah pemilihan dua Naib Presiden ANGKASA bagi menggantikan penyandang yang tamat tempoh perkhidmatan, selain mengesahkan pelantikan Anggota Lembaga ANGKASA yang mewakili Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta Kementerian Kewangan Malaysia (MOF).
Di samping itu, mesyuarat berkenaan turut memilih enam perwakilan koperasi dan mengesahkan pelantikan empat Anggota Lembaga ANGKASA sebagai Jawatankuasa Menentusahkan Draf Minit MAPA Ke-40, selain menimbang dan meluluskan Rancangan Perniagaan ANGKASA bagi Tahun Kewangan 2027.
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah berkata, rancangan perniagaan tersebut merangkumi pelbagai inisiatif dan keutamaan strategik bagi memperkukuh ekosistem koperasi negara serta memenuhi keperluan semasa koperasi anggota.
Katanya, usaha itu bukan sahaja bertujuan merancakkan pertumbuhan koperasi, malah memperkukuh kemampanan gerakan koperasi bagi jangka panjang.
Hadir sama dalam sesi tersebut ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Naib-naib Presiden ANGKASA, iaitu Dato’ Haji Kamarudin Ismail dan Dato’ Haji Ibrahim Haji Abdullah, Anggota Lembaga ANGKASA (wakil KUSKOP), Haji Azizul Alias serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh.










