Tuesday, June 23, 2026
HomeKOPERASIDidik Generasi Baharu Cintakan Koperasi

Didik Generasi Baharu Cintakan Koperasi

Anggota koperasi disaran supaya memberi pendedahan dan didikan khususnya kepada generasi muda tentang kepentingan koperasi terhadap pembangunan sosioekonomi ummah.

Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, koperasi boleh mengambil semangat Maal Hijrah dengan membina keazaman serta semangat untuk terus majukan koperasi di samping berusaha untuk menanam rasa cinta generasi muda terhadap koperasi.

Menurut beliau, selain mendidik generasi muda, koperasi juga boleh menjadi pemangkin dalam melahirkan lebih ramai anggotanya menjadi pengeluar atau usahawan sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan kepada perolehan sedia ada.

“Usaha ini wajar demi memastikan proses menggandakan keupayaan koperasi melalui peningkatan jumlah syer dan sokongan anggotanya lebih terancang dan terjamin”, ujar beliau.

Datuk Seri Dr. Abdul Fattah turut mencadangkan supaya majlis ulang tahun koperasi diraikan bersama ahli keluarga termasuk anak-anak bagi membentuk pendedahan dan pengetahuan yang lebih luas tentang koperasi.

Beliau berkata demikian sewaktu hadir dalam majlis Sepetang bersama Presiden ANGKASA dan Anggota Koperasi Kariah Masjid Taman Taming Jaya Selangor Berhad di perkarangan Masjid Taming Jaya, Balakong, pada 17 Jun 2026.

Program ini juga dianjurkan sempena ulangtahun keenam penubuhan Koperasi tersebut yang kebetulan jatuh pada tanggal 1 Muharram 1448H.

Majlis turut diserikan dengan penyerahan lima borang keanggotaan baharu koperasi dan acara cabutan bertuah kepada anggota yang hadir.

Hadir sama ialah Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Penasihat Korporat ANGKASA (Sektor Korporat), Dato’ Dr. Haji Mohd Nasiruddin Othman, Pengerusi Koperasi Kariah Masjid Taman Taming Jaya Selangor Berhad, Tuan Haji Azizan Abu Che dan barisan Anggota Lembaga Koperasi.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine