Tuesday, June 23, 2026
HomeAGENSIKOPEKS Rancang Tubuh Pusat Dialisis MyANGKASA di Kota Kinabalu

KOPEKS Rancang Tubuh Pusat Dialisis MyANGKASA di Kota Kinabalu

Inisiatif yang dijalankan oleh Koperasi Pekerja-pekerja Kerajaan Sabah Berhad (KOPEKS) khususnya dalam aspek perkhidmatan kesihatan sangat membanggakan dan wajar dipuji.

Usaha KOPEKS dalam menceburi perkhidmatan baharu seperti pusat dialisis amat bertepatan dengan matlamat koperasi tersebut untuk meningkatkan kapasiti perniagaan berimpak tinggi sekali gus memberi manfaat kepada anggota dan masyarakat.

Demikian kenyataan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor pada Mesyuarat Agung Tahunan Ke-49 KOPEKS yang berlangsung pada 18 Jun 2026 di Sabah International Convention Centre (SICC).

Menurut beliau, di Sabah sahaja, dianggarkan terdapat lebih 2,000 pesakit memerlukan rawatan dialisis. Pihak kerajaan juga telah menyumbang sebanyak 100 unit mesin dialisis bernilai RM4 juta kepada hospital-hospital terlibat.

Justeru, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji berharap kadar bayaran yang dikenakan oleh pusat dialisis milik koperasi berpatutan bagi meringankan beban pesakit.

Beliau menekankan bahawa penglibatan KOPEKS dalam bidang itu mencerminkan keprihatinan dan usaha murni selaras dengan objektif koperasi iaitu mengutamakan kebajikan anggota dan masyarakat.

“Niat murni KOPEKS ini juga wajar dicontohi oleh koperasi lain kerana ia membuka peluang kepada anggota dan komuniti untuk mendapatkan rawatan perubatan pada harga berpatutan.

Koperasi juga telah memainkan peranan penting dalam membangunkan ekonomi serta menjaga kesejahteraan rakyat”, ujar beliau.

Terdahulu, Pengerusi KOPEKS, Datuk Dr Haji Saat Haji Ag. Damit, berkata bahawa koperasi akan menjalinkan kerjasama strategik dengan MyANGKASA Dialisis dengan membuka pusat dialisis di beberapa tempat termasuk Kota Kinabalu dan Tuaran, selain mempelajari kaedah pengurusan perkhidmatan tersebut. Dalam bidang perniagaan Ar-Rahnu pula, KOPEKS turut merancang untuk membuka satu lagi cawangan di Tawau.

Pada hari bersejarah itu juga, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji telah diberi penghormatan untuk menyempurnakan Majlis Pelancaran Akhbar Kinabalu Media, yang merupakan akhbar terbitan koperasi secara fizikal buat pertama kalinya dan akan diteruskan dalam bentuk digital.

KOPEKS yang berusia 63 tahun, kini mempunyai 6,129 anggota dengan jumlah aset RM142,595,228, saham bernilai RM2,682,632 serta tenaga kerja seramai 43 orang. Perniagaan utama koperasi melibatkan kemudahan kredit, Ar-Rahnu X’Change, sewaan rumah kedai, pangsapuri dan klinik kesihatan.

Majlis turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Koperasi Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Brunei Berhad (KOPDPPMB Berhad), Negara Brunei Darussalam, dokumen kerjasama perniagaan dialisis bersama MyANGKASA Dialisis Sdn Bhd. serta perjanjian francais Cawangan Ar-Rahnu X’Change Tawau oleh Rakyat Management Services Sdn Bhd (RMS).

Majlis turut diserikan dengan penyerahan replika cek dana pembiayaan, modal pusingan RM30 juta Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad kepada KOPEKS serta penyampaian Program CSR KOPEKS dan RMS.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Sabah, Haji Awang Ruslli Mohammad, Konsulat Agong Negara Brunei Darussalam, Puan Dayang Fauzana Octavia Alli, Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri Sabah, Dr Zhamriee Gulamrasul, Penasihat Korporat ANGKASA (Sektor Kerajaan), Dato’ Dr Haji Nasaruddin Othman, Ketua Pegawai Eksekutif KOPEKS, Buvil Angkui, Ketua Pegawai Eksekutif RMS, Haji Mohamad Azwani Asa’d, Pengerusi KOPDPPMB Berhad, Haji Musa Haji Adnin dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine