ANGKASA telah mengadakan kunjungan hormat ke Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) di Pejabat Akauntan Negara Malaysia, Kompleks Kementerian Kewangan, Presint 2, Putrajaya pada 19 Jun 2026.
Kunjungan ini bertujuan memperkukuhkan hubungan strategik antara kedua-dua organisasi serta meneroka peluang kerjasama yang dapat memberi manfaat kepada gerakan koperasi dan warga perkhidmatan awam.
Delegasi ANGKASA diketuai oleh Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah bersama barisan kepimpinan tertinggi ANGKASA. Pertemuan tersebut menjadi platform untuk bertukar pandangan mengenai pembangunan ekonomi komuniti, pengukuhan tadbir urus koperasi dan usaha memperkasakan koperasi dalam kalangan penjawat awam.
Menurut Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, kerjasama erat antara ANGKASA dan JANM berpotensi menjadi pemangkin kepada pembangunan koperasi yang lebih mampan dan berdaya saing.
Beliau berkata, “ANGKASA sentiasa komited memperluaskan jaringan strategik bersama agensi kerajaan bagi memastikan koperasi terus menjadi instrumen penting dalam memperkukuh ekonomi rakyat serta membuka lebih banyak peluang kolaborasi yang memberi manfaat kepada anggota koperasi dan sektor perkhidmatan awam.”
Sementara itu, Akauntan Negara Malaysia, Tuan Haji Nasran Omar berkata, “JANM sentiasa mengalu-alukan kerjasama strategik yang dapat menyokong kesejahteraan warga perkhidmatan awam dan memperkukuh pembangunan ekonomi komuniti.
Peranan koperasi yang aktif dan berdaya saing mampu menjadi pelengkap kepada usaha kerajaan dalam meningkatkan taraf sosioekonomi anggota serta menyokong agenda pembangunan negara secara menyeluruh.”
Kunjungan hormat tersebut diakhiri dengan sesi pertukaran cenderamata dan perbincangan lanjut mengenai peluang kerjasama pada masa hadapan.
Hadir sama ialah Penasihat Korporat (Sektor Kewangan) ANGKASA, Puan Rihatun Abddah Meor Zainal Abidin, Pengurus Besar Bahagian Perkhidmatan Kredit dan Kewangan ANGKASA, Encik Wan Mohd Asdi Wan Mansor serta Pengurus Seksyen Kutipan, Bayaran dan Perhubungan Pelanggan, Bahagian Perkhidmatan Kredit Dan Kewangan ANGKASA, Encik Zahari Omar.




















