Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah kekal menerajui Koperasi Pembiayaan Syariah ANGKASA Berhad (KOPSYA) sebagai Pengerusi bagi tempoh tiga tahun (2026-2029), manakala Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri (JKAN) Pulau Pinang, Dato’ Haji Mohd Jamil Othman turut mengekalkan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi.
Haji Mohamad Noor Mohamad pula terus diberi kepercayaan untuk menyandang jawatan Bendahari KOPSYA bagi penggal yang sama.
Pelantikan tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Khas KOPSYA yang diadakan sejurus selepas Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan KOPSYA Kali Ke-12 (MAPT 2026), susulan pemilihan semula ketiga-tiga individu berkenaan sebagai Anggota Lembaga KOPSYA pada mesyuarat tahunan tersebut yang berlangsung secara hibrid di Auditorium ANGKASA, Wisma Ungku A. Aziz, Kelana Jaya pada 21 Jun 2026.
Turut dipilih semula sebagai Anggota Lembaga KOPSYA ialah Puan Norizah Abdullah dan Haji M. Nasir Ramli.
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah berkata, pemilihan semula kelima-lima Anggota Lembaga KOPSYA itu mencerminkan keyakinan serta kepercayaan berterusan perwakilan terhadap keupayaan organisasi tersebut untuk meneruskan agenda pertumbuhan dan memperkukuh kedudukannya dalam sektor pembiayaan syariah koperasi.
Menurut beliau, kepercayaan yang diberikan oleh perwakilan akan diterjemahkan melalui usaha memperkukuh prestasi kewangan KOPSYA serta meningkatkan peranannya dalam menyokong pembangunan ekonomi gerakan koperasi.
Dalam ucapannya, beliau berkata KOPSYA telah mencatatkan keuntungan bersih tertinggi dalam sejarah penubuhannya, iaitu sebanyak RM12.7 juta pada tahun 2025.
“Sehingga hari ini, jumlah pembiayaan yang telah diluluskan oleh KOPSYA mencecah RM1.32 bilion, manakala jumlah pembiayaan yang telah dikeluarkan adalah sebanyak RM874 juta.
Dana tersebut telah digerakkan ke pelbagai sektor termasuk kredit, hartanah, perladangan, peruncitan dan pelbagai bidang lain yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi koperasi,” katanya.
Tambah beliau, kecemerlangan tersebut turut mendapat pengiktirafan apabila KOPSYA menduduki tempat ke-17 Koperasi Terbaik Malaysia 2025 dan tempat ke-11 Koperasi Terbaik Wilayah Persekutuan bagi tahun yang sama.
Sementara itu, seramai 1,168 perwakilan berdaftar dari seluruh negara menyertai MAPT 2026, terdiri daripada 396 peserta yang hadir secara fizikal dan 772 peserta secara dalam talian.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Dr. Abdul Fattah itu telah membentangkan sebanyak 14 agenda antaranya Mengesahkan Minit MAPT KOPSYA Kali Ke-11 (MAPT 2025), Laporan Lembaga Bagi Tempoh Januari Sehingga Disember 2025 dan Laporan Jawatankuasa Audit Dalaman Bagi Tempoh Januari Sehingga Disember 2025. Selain itu, turut dibentangkan Penyata Kewangan Yang Telah Diaudit Bagi Tempoh Januari Sehingga Disember 2025.
Mesyuarat turut melantik enam (6) perwakilan bagi Jawatankuasa Penentusah Minit MAPT KOPSYA Kali Ke-12 (MAPT 2026) menerusi proses pengundian secara digital yang bermula kira-kira jam 12.30 tengah hari.
Hadir sama secara fizikal ialah Pegawai Penyelia Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Wilayah Persekutuan, Encik Hamni Mat Dros, Setiausaha KOPSYA, Haji Alimen Ahmad, barisan Anggota Lembaga KOPSYA, barisan Jawatankuasa Audit Dalaman KOPSYA yang diketuai Encik Hamzah Ibrahim serta barisan pengurusan KOPSYA yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif KOPSYA, Hajah Fatimah Nurhaliza Mohd Hatta.
Kepimpinan ANGKASA yang turut hadir ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Naib-naib Presiden ANGKASA, iaitu Dato’ Haji Kamarudin Ismail dan Dato’ Haji Ibrahim Haji Abdullah serta barisan Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri yang hadir sebagai perwakilan.
Senarai Anggota Lembaga KOPSYA:-
Pengerusi: Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah
Timbalan Pengerusi: Dato’ Haji Mohd Jamil Othman
Setiausaha: Haji Alimen Ahmad
Bendahari: Haji Mohamad Noor Mohamad
Anggota Lembaga:
● Puan Norizah Abdullah
● Haji M. Nasir Ramli
● Hajah Riguan Rashidi
● Datuk Haji Mohamad Ali Hasan
● Dr. Haji Wan Mohtar Wan Yusoff
● Tuan DSP (B) Suhaimi Haji Ahmad
● Haji Shaarani Abd Rahman
● Encik Syahrudin Hanib
● Encik Wan Azizan Wan Zainal Abidin
● Encik Mohd Fauzi Mohammed Saif
● Prof. Ts. Dr. Razali Hassan
Jawatankuasa Penentusah Minit MAPT KOPSYA Kali Ke-12 (MAPT 2026):-
- Haji Majib Jussoh
- Haji Adnan Awang
- Haji Osman Toroh
- Dr. Abdul Wahab Alias
- Haji Saidon Othman
- YM Engku Mohd Nasir Syed Mohamad










































































