Selaras dengan prinsip ketujuh koperasi, iaitu ‘Prihatin Terhadap Masyarakat’, ANGKASA Pahang Tengah dengan kerjasama sebuah stesen TV tempatan telah menjalin kerjasama menerusi program tanggungjawab sosial dengan menyantuni golongan asnaf yang memerlukan khususnya di kawasan Pahang Tengah.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah hadir memberikan sokongan bagi menjayakan program tersebut dengan menyampaikan sendiri bantuan berupa wang tunai serta barangan keperluan asas bermilai RM1,000 bagi setiap keluarga yang terlibat pada 22 Jun 2026.
Program yang bertempat di Jerantut, Pahang itu turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri (JKAN) Pahang Tengah, Dato’ Haji Mohamad Hanifah BK Koya Moideen Kutty selain diiringi dua Anggota JKAN Pahang Tengah, iaitu Dato’ Zainal Azman Bin Haji Bidin (Timbalan Pengerusi) dan Dato’ Abd Rahman Bin Daud (Bendahari) serta Penasihat Korporat ANGKASA (Sektor Kerajaan), Dato’ Haji Nasaruddin Othman.
Program dimulakan dengan menziarahi kediaman Encik Nazri Wong Kong Mok @ Ismail di Kampung Doja, Kuala Tembeling di Jerantut.
Encik Nazri (42 tahun) menghidap kencing manis kronik selain mengalami masalah saraf dan jantung kini terpaksa bekerja dengan mengambil upah memandu lori bagi menampung kos rawatan selain memastikan tiga orang anak yang masih bersekolah mendapat pendidikan yang sempurna.
Isterinya, Puan Norazana Mohd Radzi turut membantu meringankan beban keluarga dengan mengambil upah menjahit pakaian.
Program bantuan diteruskan dengan menyantuni kediaman Puan Siti Hauzein Mohd Noor (43 tahun) di Kampung Sungai Putat, Padang Piol di Jerantut.
Beliau yang merupakan seorang balu kini sedang berjuang melawan kanser payudara tahap empat dan pada masa yang sama, membesarkan empat anak yang kesemuanya masih bersekolah.
Puan Siti pada masa ini menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Zakat Negeri Pahang. Beliau turut menjalankan aktiviti menjual kuih bagi menampung keperluan hidup seharian.
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah dalam temubual bersama wartawan menyatakan rasa simpati yang amat mendalam selain turut mendoakan agar dua buah keluarga asnaf tersebut terus diberikan kekuatan, kesihatan dan rezeki yang lebih baik pada masa hadapan.
Beliau juga berharap mereka dapat keluar daripada kesukaran yang dihadapi dengan menyertai komuniti setempat melalui platform koperasi. Menerusi koperasi, setiap anggota dapat bersama-sama menjalankan aktiviti sosioekonomi yang sesuai bagi meningkatkan sumber pendapatan secara berjemaah.















