Program Jualan MADANI KUSKOP (JMK) 2026 siri keenam yang berlangsung di Taman Makok, Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini (2 Ogos 2026) menawarkan lebih 80 jenis barangan keperluan harian, termasuk barangan runcit dan basah, dengan potongan harga sekurang-kurangnya 20 peratus serta diskaun istimewa sehingga 30 peratus bagi barangan terpilih.
Antara barangan basah yang ditawarkan pada harga istimewa ialah daging segar (RM24 sekilogram), ayam segar (RM10 seekor), ikan temenung (RM13 sekilogram) dan udang segar (RM28 sekilogram).
Majlis perasmian program dan gimik jualan Happy Hour disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), YB Steven Sim Chee Keong bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang, YB Daniel Gooi Zi Sen.
Hadir sama ialah Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cawangan Pulau Pinang yang mewakili Pengerusi Eksekutif SKM, Dr. Hajah Zainab A. Raman, Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri Pulau Pinang, Dato’ Haji Mohd. Jamil Othman serta Pengurus Besar Bahagian Korporat ANGKASA merangkap Pegawai Khas Presiden, Halim Haji Ibrahim.
JMK merupakan antara inisiatif utama kerajaan dalam membantu rakyat menangani peningkatan kos sara hidup, di samping memperkukuh ekosistem keusahawanan dan memperluas akses masyarakat kepada barangan keperluan asas pada harga berpatutan.
Selain aktiviti jualan, program itu juga bertindak sebagai pusat sehenti (one-stop centre) yang memudahkan urusan rakyat dan komuniti usahawan menerusi penyediaan kaunter perkhidmatan agensi kerajaan di bawah satu bumbung.


































