Seramai 137 perwakilan menghadiri Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Kali Ke-39 Koperasi Gabungan Pekebun Kecil Perak Berhad yang disempurnakan oleh Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah bertempat di Hotel Travelodge Ipoh, Perak pada 30 Julai 2026.
Mesyuarat ini menjadi platform penting bagi anggota untuk menilai pencapaian koperasi serta menentukan hala tuju strategik demi memastikan pertumbuhan yang mampan.
Dalam ucapannya, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah berkata, Mesyuarat Agung merupakan medan penting untuk anggota menilai pencapaian koperasi dan membuat keputusan terbaik bagi memperkukuhkan pengurusan serta memastikan koperasi terus berkembang.
Pencapaian Koperasi Gabungan Pekebun Kecil Perak Berhad yang kini memiliki aset mencecah RM40 juta dan berjaya mengisytiharkan dividen 10 peratus membuktikan pengurusan yang berkesan mampu membawa manfaat kepada seluruh anggota.
Beliau turut menegaskan bahawa ANGKASA akan terus komited memperkasa gerakan koperasi melalui pengukuhan tadbir urus, pembangunan sektor perniagaan strategik serta penerokaan peluang baharu agar koperasi kekal berdaya saing.
Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Koperasi Gabungan Pekebun Kecil Perak Berhad yang berjaya berada di kedudukan ke-81 dalam senarai 100 Koperasi Terbaik Malaysia 2026.
Sementara itu, Pengerusi Koperasi Gabungan Pekebun Kecil Perak Berhad, Encik Hasan Saadan dalam ucapannya berkata, koperasi perlu sentiasa mencari idea dan peluang baharu untuk membangun bersama demi memastikan manfaat dapat dinikmati oleh seluruh anggota.
Beliau berharap ANGKASA dapat berperanan sebagai perunding dalam menerajui pembangunan pusat dialisis koperasi yang baru beroperasi dengan 36 buah mesin dialisis agar dapat diurus secara lebih cekap dan mampan.
Beliau turut memaklumkan bahawa koperasi akan terus membantu koperasi-koperasi pekebun kecil di daerah-daerah melalui pelbagai inisiatif yang memberi manfaat serta selari dengan prinsip dan pembangunan gerakan koperasi.
Koperasi Gabungan Pekebun Kecil Perak Berhad giat mempelbagaikan aktiviti perniagaannya merangkumi perkhidmatan kesihatan melalui Smart Hemodialysis Sdn. Bhd., pembangunan projek perumahan, pengembangan sektor perladangan kelapa sawit, pembangunan stesen minyak serta penternakan ayam pedaging dan lembu fidlot.
Kepelbagaian aktiviti ini mencerminkan komitmen koperasi dalam memperkukuh prestasi perniagaan serta menjana manfaat berterusan kepada 13 koperasi pekebun kecil daerah yang menjadi anggotanya.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Penolong Pengarah Kanan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (Wilayah Negeri Perak), Cik Ratna Khasuziana Mohd Khalid, Pegawai Pertanian Pejabat Risda Negeri Perak, Puan Azlina Mislan, Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri (JKAN) Perak, Haji Mohamed Shafie Abd Karim serta Penasihat Korporat (Sektor Kerajaan) ANGKASA, Dato’ Dr Haji Nasaruddin Othman.


























