HomeUncategorizedLLM Terima Tajaan Strategik Jayakan Cultural Night Run @ Penang 2nd Bridge...

LLM Terima Tajaan Strategik Jayakan Cultural Night Run @ Penang 2nd Bridge 2026

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bersama Koperasi LLM Berhad hari ini menerima sokongan padu daripada pelbagai penaja dan rakan strategik menerusi Majlis Penyerahan Tajaan sempena penganjuran Cultural Night Run @ Penang 2nd Bridge 2026 (CNR2026) yang berlangsung hari ini (30 Julai 2026) di Wisma Lebuhraya, Kajang, Selangor.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Pengerusi LLM, YB Datuk Seri Utama Ir. Hasni Mohammad, yang merakamkan penghargaan kepada semua penaja, rakan strategik, agensi kerajaan dan badan korporat atas kepercayaan serta sokongan berterusan dalam menjayakan acara larian malam berprestij itu.
Pada majlis berkenaan, Naib Presiden ANGKASA, Tuan Haji Zaharuddin bin Alias, yang hadir mewakili Presiden ANGKASA, menyampaikan tajaan berjumlah RM26,000 sebagai tanda sokongan terhadap penganjuran CNR2026.

Menurut YB Datuk Seri Utama Ir. Hasni Mohammad, sokongan yang diberikan oleh para penaja bukan sahaja membantu merealisasikan penganjuran CNR2026, malah mencerminkan semangat kerjasama erat antara sektor awam, sektor korporat dan komuniti dalam menjayakan program yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Tambahnya lagi, Cultural Night Run telah berkembang menjadi platform yang menyatukan masyarakat pelbagai kaum dan budaya, di samping mempromosikan gaya hidup sihat serta mengangkat Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah sebagai ikon kebanggaan negara.

Beliau berkata, penganjuran edisi kelima itu akan berlangsung pada 8 Ogos 2026 di Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, Pulau Pinang, hasil kerjasama pelbagai kementerian, agensi kerajaan dan rakan strategik termasuk Kementerian Kerja Raya (KKR), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), ANGKASA, Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB) serta beberapa agensi lain.

CNR2026 dijangka menghimpunkan lebih 3,000 peserta dari dalam dan luar negara dengan mempertandingkan kategori Fun Run 5 kilometer (KM), Larian Kompetitif 10 KM bagi kategori terbuka lelaki dan wanita, veteran serta kanak-kanak, selain Larian Kompetitif 21 KM.

Selain acara larian, pengunjung turut berpeluang menikmati pelbagai aktiviti sampingan seperti pameran, jualan dan persembahan kebudayaan. Penganjur juga menawarkan hadiah wang tunai dan hadiah iringan bernilai keseluruhan kira-kira RM34,000, termasuk hadiah bagi kategori pakaian tercantik dan paling kreatif serta pelbagai hadiah cabutan bertuah.

Mengakhiri ucapannya, YB Datuk Seri Utama Ir. Hasni Mohammad berharap CNR2026 akan memberikan pengalaman yang lebih bermakna kepada peserta, menarik lebih ramai penyertaan dari seluruh negara dan luar negara serta terus memperkukuh kedudukan Cultural Night Run sebagai acara tahunan berprestij yang mengangkat imej LLM dan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah sebagai destinasi ikonik bagi penganjuran sukan, rekreasi dan pelancongan bertaraf antarabangsa.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine