Koperasi SMK Bandar Baru Salak Tinggi Berhad mencatat pencapaian membanggakan apabila berjaya merekodkan perolehan melebihi RM1 juta, sekali gus membuktikan keupayaan koperasi sekolah berkembang sebagai platform pendidikan keusahawanan dalam kalangan murid.
Presiden ANGKAS, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, kejayaan tersebut merupakan hasil komitmen berterusan pihak sekolah, guru, Anggota Lembaga Koperasi, kakitangan serta generasi murid yang silih berganti dalam membangunkan koperasi berkenaan.
Menurut beliau, kejayaan koperasi sekolah itu bukan hanya tertumpu kepada aktiviti peruncitan dan kedai buku, malah berjaya mempelbagaikan perniagaan termasuk perkhidmatan fotostat dan percetakan, tempahan hamper, baucar koperasi serta cenderamata.
“Pencapaian perolehan RM1 juta ini membuktikan bahawa koperasi sekolah bukan sebuah organisasi kecil yang hanya menguruskan jualan alat tulis atau keperluan harian murid,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Pengiktirafan Perolehan RM1 Juta Koperasi SMK Bandar Baru Salak Tinggi Berhad dan Karnival BE-BEST 2026 di Sepang, Selangor, pada hari ini (22 Ogos 2026).
Beliau berkata, berdasarkan perangkaan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) pada Disember 2025, terdapat 2,512 koperasi sekolah di seluruh Malaysia dengan keanggotaan melebihi 2.1 juta murid dan pelajar, selain menguruskan aset bernilai hampir RM549 juta serta mencatatkan perolehan melebihi RM604 juta.
“Sehingga tahun kewangan 2025, sebanyak 52 koperasi sekolah di Malaysia telah berjaya mencatatkan perolehan melebihi RM1 juta, termasuk dua koperasi yang melepasi RM2 juta dan sebuah koperasi mencapai perolehan melebihi RM3 juta,” katanya.
Dalam pada itu, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah berkata ANGKASA akan terus memperkukuh pembangunan koperasi sekolah melalui pelbagai program, latihan dan bimbingan, termasuk Program Semarak Keusahawanan Koperasi Sekolah dan Siswa (SUKSES) yang dilaksanakan dengan amanat daripada SKM.
Beliau berkata, usaha tersebut penting bagi memastikan koperasi sekolah terus berkembang, berinovasi dan menjadi platform sebenar kepada murid untuk mempelajari dunia perniagaan, selain melahirkan generasi berdaya saing, berintegriti serta mempunyai semangat kerjasama yang tinggi.
Terdahulu Pengetua Cemerlang SMK Bandar Baru Salak Tinggi, Pn. Hajah Rosmahwati binti Sanusi, dalam ucapan aluannya merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terus memberikan sokongan terhadap pembangunan koperasi sekolah, selain menzahirkan rasa bangga atas pencapaian perolehan RM1 juta yang berjaya direalisasikan hasil komitmen warga sekolah.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Selangor, Datin Hjh. Faridah Ab Bakar, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sepang,
Sektor Perancangan, Encik Ahmad Zabidi bin Said dan Yang Dipertua PIBG SMK Bandar Baru Salak Tinggi, Encik Mohd. Hilmi bin Hussin.












