ANGKASA Negeri Perak buat kali kedua berturut-turut menyertai Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan Ke-69 Peringkat Negeri Perak Tahun 2026 yang berlangsung meriah di Padang Ipoh, hari ini (31 Ogos 2026).
Penyertaan ANGKASA Negeri Perak membabitkan seramai 58 peserta yang terdiri daripada Anggota Jawatankuasa ANGKASA Negeri (JKAN) Perak serta wakil koperasi di negeri itu.
Kontinjen berkenaan diketuai oleh Haji Zon Huri, manakala Pengurus Kontinjen ialah Setiausaha JKAN Perak, Encik Sharul Baha Abd Rahman.
Turut hadir memberikan sokongan ialah Pengerusi ANGKASA Negeri Perak, Haji Mohamed Shafie Abd Karim yang dijemput oleh Kerajaan Negeri Perak sebagai tetamu khas pada sambutan berkenaan.
Kehadiran beliau turut menjadi suntikan semangat dan sokongan moral kepada kontinjen ANGKASA Negeri Perak yang mengambil bahagian dalam perbarisan sempena sambutan Hari Kebangsaan.
Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 Peringkat Negeri Perak turut diserikan dengan keberangkatan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim yang berkenan bersama lebih 50,000 rakyat memeriahkan sambutan tersebut.
Keberangkatan baginda berdua pada jam 8 pagi disambut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Sambutan dimulakan dengan perarakan masuk Kawalan Kehormatan Utama daripada Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) 2 Divisyen yang berpangkalan di Kem Sangro, Taiping, sebelum diteruskan dengan persembahan koir.
Majlis kemudiannya disusuli perbarisan yang membabitkan 105 kontinjen dengan jumlah keseluruhan 5,884 peserta.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 89 kontinjen perbarisan melibatkan 5,300 peserta termasuk empat pembawa bendera yang terdiri daripada jabatan kerajaan, pasukan beruniform, daerah, institusi pengajian tinggi, sekolah, pihak berkuasa tempatan, badan berkanun serta sektor swasta.
Selain itu, sebanyak 16 kontinjen perarakan kenderaan turut mengambil bahagian membabitkan 301 unit kenderaan dengan penyertaan seramai 584 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan, badan berkanun, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta.
Penyertaan ANGKASA Negeri Perak dalam sambutan berkenaan mencerminkan komitmen gerakan koperasi dalam menyemarakkan semangat patriotisme, selain memperkukuh hubungan antara gerakan koperasi dengan masyarakat serta kerajaan negeri.







































