HomeAKTIVITITingkat Pencapaian dalam Segenap Aspek Tadbir Urus Perniagaan

Tingkat Pencapaian dalam Segenap Aspek Tadbir Urus Perniagaan

Sasaran pencapaian yang lebih holistik dalam tadbir urus perniagaan ANGKASA dan koperasi menjadi antara agenda penting dibincangkan  dalam Bengkel Semakan dan Catch-up Strategy Perniagaan ANGKASA 2026.

Selain itu, bengkel yang berlangsung selama tiga hari bermula 11 hingga 13 September 2026 di Awana Resort, Genting Highlands itu juga dijalankan bagi menilai semula prestasi perniagaan kumpulan dan anak syarikat sedia ada serta merangka pelan tindakan susulan sehingga Disember 2026

Antara lainnya, perjalanan bengkel turut diisi dengan mengenal pasti isu yang dihadapi oleh setiap projek dan anak syarikat, menilai keberkesanan strategi sedia ada serta menyediakan kerangka pemerkasaan hala tuju perniagaan yang lebih komprehensif sehingga 2030.

Bengkel tersebut telah dipengerusikan oleh Naib Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Fungsi Perniagaan ANGKASA dan Jaringan Anak Syarikat (CEP1), Haji Zaharuddin bin Alias.

Turut hadir ialah anggota Jawatankuasa Fungsi Perniagaan ANGKASA dan Jaringan Anak Syarikat (CEP1) iaitu Haji Wan Ibrahim bin Wan Jusoh (Pengerusi JKAN Kedah), Haji Zaidan bin Hj. Abd. Hadi, (Pengerusi JKAN Melaka), Penasihat Korporat (Sektor Koperasi) ANGKASA,  Datuk Hj. Md. Yusof Hj. Samsudin, Penasihat Korporat (Sektor Kesangan) ANGKASA, Puan Rihatun Abddah Meor Zainal Abidin,  Penasihat Korporat (Sektor Kerajaan) ANGKASA, Dato’ Dr. Haji Nasiruddin Othman, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Jusoh, Ketua Pegawai Kewangan ANGKASA, Haji Mohd Ismail Ibrahim, Pengerusi Jawatankuasa Audit Dalaman Kumpulan,  Dato’ Shaharudin Mohd Sa’ad, Panel Khas iaitu Dr. Mohd Azlan Yahya,  Besar Kanan Kumpulan Perniagaan iaitu Puan Nurul Izatee Md Yusoff, kakitangan pengurusan ANGKASA dan semua ketua Anak Syarikat ANGKASA.

Setiap pengurus, ketua projek dan ketua anak syarikat perlu menyediakan catch-up plan masing-masing bagi menilai dan menganalisa pencapaian sasaran perniagaan yang ditetapkan sehingga Disember 2026.  

Dokumen catch-up plan ini penting bagi membantu ANGKASA mendapatkan maklumat yang tepat mengenai prestasi sedia ada dan mengambil tindakan bagi meningkatkan pencapaian yang telah ditetapkan sepertimana dalam Pelan Strategik ANGKASA 2050, dan kumpulan perniagaan ANGKASA serta anak syarikat perlu bersedia membuat perubahan selaras dengan arus perubahan perniagaan semasa.

Sekiranya prestasi sesuatu aktiviti perniagaan didapati terus merosot, punca masalah perlu dikenal pasti dan diambil tindakan penambahbaikan segera sama ada berkaitan dengan aspek sumber manusia, proses mahupun sistem.

Hasil daripada bengkel ini, kumpulan akan menilai semula prestasi dan tindakan setiap aktiviti perniagaan yang dijalankan sama ada menerusi ANGKASA atau anak syarikat, dan memberikan pandangan dan cadangan yang membina kemajuan perniagaan yang lebih berimpak tinggi.

Selain itu, kumpulan dan anak syarikat turut diarahkan mengambil tindakan serius terhadap penemuan dan saranan daripada Audit Dalaman ANGKASA, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh tadbir urus dalaman organisasi dan kemajuan perniagaaan.

Sepanjang bengkel, Ketua Pegawai Kewangan telah membentangkan prestasi kewangan semasa ANGKASA dan kumpulan, termasuk sasaran kewangan yang ditetapkan sehingga tahun 2030 bagi memberi gambaran jelas kepada semua pengurus projek dan ketua anak syarikat mengenai kedudukan kewangan terkini organisasi.

Bengkel Semakan dan Catch-up Strategy Perniagaan ANGKASA 2026 turut menggariskan hala tuju jelas bagi memperkukuh prestasi perniagaan ANGKASA dan anak syarikat, dengan penekanan kepada tadbir urus kewangan yang telus, penyusunan semula sumber manusia yang strategik, serta pemantapan jenama dan pemasaran ANGKASA.

Mesej utama yang dibawa pulang oleh setiap pengurus projek dan ketua anak syarikat ialah keperluan bertindak segera dan telus dalam menangani sebarang kemerosotan prestasi, selaras dengan hasrat agar seluruh kumpulan perniagaan ANGKASA sentiasa peka kepada arus perubahan semasa. Hasil bengkel ini dijangka menjadi asas kepada pelan tindakan yang lebih berimpak dan akan memandu kemajuan perniagaan ANGKASA sehingga 2030.

Majlis perasmian penutupan bengkel telah disempurnakan oleh Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Abdul Rahman Abdul Razak Shaik

Beliau dalam ucapannya menegaskan bahawa peranan kumpulan perniagaan ANGKASA mesti sejajar dengan Pelan Strategik ANGKASA 2030 iaitu menjadi penyumbang peningkatan pendapatan kepada ANGKASA dan perniagaan koperasi.  Setiap anak syarikat pula perlu fokus kepada hala tuju yang ditetapkan ANGKASA tanpa terpesong kepada agenda lain.

“Setiap anak syarikat perlu memastikan pelan strategik perniagaan yang telah dibangunkan dilaksanakan dan mencapai sasaran yang ditetapkan,” ujar beliau,

Beliau juga turut menegaskan bahawa ANGKASA akan menilai semula prestasi anak syarikat dan tindakan penambahbaikan yang akan diambil berdasarkan situasi semasa perniagaan syarikat tersebut.

Beliau  juga turut menyeru Lembaga atau wakil ANGKASA di setiap anak syarikat  supaya dapat memainkan peranan lebih aktif dalam menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan, serta menggesa mana-mana perniagaan yang bermasalah agar  segera mengubah model perniagaan dan mencari alternatif bagi kelestarian syarikat.

“Setiap Lembaga diharap meningkatkan momentum dan tidak meletakkan agenda peribadi dan menekankan budaya kerja berlandaskan integriti di semua peringkat kepimpinan”.

Dato’ Dr. Abdul Rahman turut mengingatkan keperluan supaya sentiasa membuat pengauditan prestasi dan Risiko serta semakan usaha wajar yang menyeluruh sebelum sebarang keputusan perniagaan dibuat.

“Jangan pandang remeh, kerana semua pihak bertanggungjawab terhadap risiko yang bakal dihadapi”katanya

Beliau juga menasihatkan agar keputusan pemilihan perniagaan tidak dibuat semata-mata berdasarkan peluang semasa, sebaliknya perlu melalui analisa kebolehlaksanaan yang terperinci.

Bengkel ini dilihat sebagai titik permulaan penting bagi ANGKASA membina kerangka strategik yang lebih kukuh bagi seluruh perniagaan ANGKASA dan anak syarikatnya sehingga 2030, dengan setiap pihak pulang membawa pemahaman lebih jelas mengenai jangkaan prestasi dan pelan tindakan susulan.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine