Oleh: Nor Lela Abdul Ghani
Pengurus Seksyen Korporat
Bahagian Korporat ANGKASA
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Bin Abdullah dipilih sebagai Ahli Lembaga Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA) bagi penggal 2026 hingga 2030 melalui pemilihan yang berlangsung sempena Perhimpunan Agung ICA 2026 di Panama Convention Centre, Panama City, Panama pada 15 September 2026.
Kemenangan tersebut membolehkan Malaysia menerusi ANGKASA terus mempertahankan kedudukan dalam barisan kepimpinan tertinggi badan induk gerakan koperasi dunia selepas kerusi Ahli Lembaga ICA bagi penggal 2022–2026 disandang oleh Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail.
Seramai 15 Ahli Lembaga dipilih daripada 24 calon untuk berkhidmat bagi penggal 2026 hingga 2030. Daripada jumlah tersebut, tujuh merupakan Ahli Lembaga yang dipilih semula manakala lapan lagi merupakan Ahli Lembaga baharu, termasuk Datuk Seri Dr. Abdul Fattah.
Pemilihan tersebut disertai oleh 116 pengundi yang mewakili 193 organisasi anggota ICA dari 66 negara, sekali gus memperlihatkan penyertaan anggota ICA dari pelbagai rantau dalam proses pemilihan barisan kepimpinan bagi tempoh empat tahun akan datang.
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah berkata, kejayaan tersebut merupakan satu penghormatan dan amanah besar bukan sahaja kepada ANGKASA, malah kepada keseluruhan gerakan koperasi Malaysia yang meliputi 16,468 buah koperasi dengan 7.3 juta keanggotaan.
“Kemenangan ini adalah kemenangan gerakan koperasi Malaysia. Ini membuktikan keyakinan pemimpin koperasi antarabangsa terhadap kemampuan Malaysia untuk terus menyumbang idea, pengalaman dan kepimpinan dalam menentukan hala tuju gerakan koperasi di peringkat global.
“ANGKASA akan menggunakan platform ini untuk memastikan suara dan kepentingan koperasi Malaysia terus diberi perhatian, selain memperluas jaringan strategik, kerjasama ekonomi dan kepakaran antara koperasi Malaysia dengan koperasi di seluruh dunia,” katanya. Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah juga merupakan Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO) dan Naib Presiden Ikatan Koperasi Antarabangsa Asia dan Pasifik (ICA-AP).
Beliau berkata, kedudukan dalam Lembaga ICA membuka ruang lebih luas kepada ANGKASA untuk membawa perspektif gerakan koperasi Malaysia dalam pembentukan dasar dan agenda koperasi antarabangsa, khususnya dalam aspek pembangunan mampan, keterangkuman ekonomi, pengukuhan perdagangan antara koperasi serta pembangunan komuniti.
Pada Perhimpunan Agung yang sama, Dr. Ariel Guarco dari Argentina dipilih semula tanpa bertanding sebagai Presiden ICA. Struktur Lembaga Global ICA mempunyai 30 anggota yang terdiri daripada Presiden, empat Naib Presiden serantau, lapan wakil organisasi sektor, 15 Ahli Lembaga serta Presiden Jawatankuasa Belia dan Presiden Jawatankuasa Kesaksamaan Jantina.
ANGKASA telah menjadi anggota tetap ICA sejak 16 Mei 1972 dan terus memainkan peranan aktif dalam jaringan dan kepimpinan gerakan koperasi antarabangsa. ICA yang ditubuhkan pada tahun 1895 merupakan badan induk gerakan koperasi dunia yang menyatukan, mewakili dan memberi khidmat kepada koperasi di seluruh dunia.
ICA mewakili gerakan yang merangkumi kira-kira satu bilion anggota koperasi dan sekitar tiga juta koperasi di seluruh dunia, sekali gus menyediakan suara global serta platform perkongsian pengetahuan, kepakaran dan tindakan bersama untuk gerakan koperasi.
Perhimpunan Agung ICA 2026 berlangsung dalam rangka ICA Global Conference & Assemblies 2026 di Panama. Turut hadir ialah Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia, Datuk Mohd Ali Mansor, Naib Presiden ANGKASA, Datuk Haji Mohamad Ali Hasan, Dato’ Haji Kamarudin, Anggota Lembaga Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (Koop Sahabat) Berhad, Encik Mohd Khairul Amri Dato’ Amihamzah, Ketua Pegawai Eksekutif Koop Sahabat, Encik Mazri Mahmood serta Pengurus Besar Bahagian Korporat ANGKASA merangkap Pegawai Khas Presiden ANGKASA (Menanggung Tugas Jawatan Pengurus Besar Kanan Kumpulan Tadbir Urus dan Pentadbiran), Encik Halim Haji Ibrahim.
























































