Seramai 35 kakitangan ANGKASA daripada pelbagai seksyen dan bahagian telah mengikuti Kursus Tatacara Import-Eksport Produk dan Perkhidmatan Malaysia Indonesia yang diadakan di Wisma Ungku A. Aziz Kelana Jaya pada 17 September 2026.
Program tersebut adalah lanjutan daripada penyertaan ANGKASA dalam program Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle (IMT-GT) Business Matching dan Senior Officials Meeting yang telah disertai oleh pihak ANGKASA di Medan, Indonesia pada 9 September 2026.
Program dirasmikan oleh Naib Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Fungsi Perniagaan ANGKASA dan Jaringan Anak Syarikat (CEP1) , Haji Zaharuddin Alias.
Beliau dalam ucapannya berkata, produk dan perkhidmatan ANGKASA serta koperasi di Malaysia masih belum betul-betul kukuh bertapak di Indonesia. Justeru katanya, Kumpulan Perniagaan ANGKASA akan menggunakan pendekatan “Go Small First Then Go Big.
‘Kali ini biar kita bergerak secara berfokus, bangunkan satu inisiatif pada satu masa, dan pastikan setiap usaha dan inisiatif itu berjaya sebelum kita memberi fokus kepada perkara yang lain.
Nilai perdagangan antara Malaysia – Indonesia pada tahun 2025 adalah sebanyak RM114 billion, dan sasaran kita jika 0.01 peratus (RM11.4 juta daripada RM114 billion) dapat kita sumbangkan melalui gerakan koperasi, itu juga merupakan satu kejayaan dan motivasi pada kita untuk melangkah lebih jauh”, ujar beliau.
Secara statistik, program ini telah mempertemukan lebih daripada 250 entiti perniagaan; iaitu 150 daripada Indonesia, 60 daripada Malaysia dan 40 daripada Thailand, Singapura, India dan China serta telah menjana lebih daripada RM22.8 billion dalam bentuk nilai perdagangan di antara tiga negara wilayah IMT-GT.
Penceramah yang dijemput bagi memberikan pendedahan berkaitan realiti sebenar urus niaga rentas negara antara Malaysia-Indonesia ialah Ketua Penasihat Perundangan (Chief Legal Advisor), PT. Umaty Global Group Indonesia iaitu Yth. Bpk. Khairul Hisham Hassan.
Beliau yang berpengalaman selama 28 tahun membantu institusi perniagaan Malaysia untuk bertapak di Indonesia berkata, ramai usahawan Malaysia merasakan bahawa pasaran Indonesia amat susah untuk ditembusi oleh produk dan perkhidmatan Malaysia.
Namun menurut beliau, kerajaan Indonesia sebenarnya memberikan layanan sama rata kepada semua usahawan luar negara, tanpa mengambil kira saiz syarikat dan perniagaan mereka.
Beliau menambah, kesilapan ramai usahawan Malaysia adalah mereka tidak mempunyai maklumat yang cukup berkaitan regulasi dan undang-undang perniagaan di Indonesia, dan mereka selalu mengharapkan ejen luar untuk menguruskan perkara berkaitan secara 100 peratus. Situasi tersebutlah yang menyebabkan ramai usahawan mudah ditipu dan dimanipulasi.
Kunci kepada kejayaan produk dan perkhidmatan usahawan Malaysia untuk berjaya ditempatkan di Indonesia adalah mencari wakil atau ejen yang betul-betul menguruskan urusan berkaitan pendaftaran perniagaan mereka di sana, dan pada masa yang sama mereka perlu cakna dengan perkara-perkara penting seperti perundangan, syarat menubuhkan syarikat atau PT di sana, dan memastikan hanya berurusan dengan orang yang boleh dipercayai.
Menurut beliau lagi, usahawan Malaysia perlu memahami pentingnya Sales Commando yang berpengalaman lebih daripada 8 tahun, dan sales commando ini merupakan orang tempatan Indonesia yang akan berperanan untuk mencari pengimport yang bersesuaian untuk memastikan produk dan perkhidmatan usahawan tempatan berjaya ditempatkan di lokasi-lokasi sekitar Indonesia yang mereka inginkan.
Turut sama menyertai kursus ialah Pengerusi ANGKASA Negeri Melaka, Haji Zaidan Haji Abd. Hadi.









