HomeKOPERASICoopMart Koperasi Kariah Masjid At-Taqwa Berhad – Platform Tingkatkan Ekonomi Anggota

CoopMart Koperasi Kariah Masjid At-Taqwa Berhad – Platform Tingkatkan Ekonomi Anggota

Peruntukan sebanyak RM500,000.00 yang disalurkan melalui Kongres Koperasi Kebangsaan 2024 oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim merupakan satu bentuk perhatian khususnya terhadap peranan koperasi Kariah masjid sebagai wadah untuk menggerakkan ekonomi rakyat berteraskan semangat kebersamaan.

Justeru, amanah itu perlu diterjemahkan melalui program yang dapat memberi manfaat secara langsung kepada koperasi dan anggota.

Demikian antara intipati ucapan Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah pada Majlis Perasmian Coop Mart Koperasi Kariah Masjid At-Taqwa Berhad dan Sambutan Hari Keluarga Masjid At-Taqwa Kampung Awah yang diadakan di Dewan Komuniti Haji Wahid Anuar Dollah Masjid At-Taqwa Kampung Awah, Maran, Pahang pada 27 September 2026.

Katanya, ANGKASA telah merangka beberapa inisiatif yang bersifat praktikal untuk membantu koperasi kariah masjid meningkatkan aktiviti ekonomi.

Antaranya ialah Program Pemerkasaan Koperasi Kariah Masjid Luar Bandar (DESA) yang menyediakan kemudahan kabin kepada 20 buah koperasi kariah masjid terpilih di seluruh negara, termasuklah Koperasi Kariah Masjid At-Taqwa Berhad, Kampung Awah, Maran.

“Kabin yang disediakan oleh ANGKASA ini diharap dapat menjadi kemudahan perniagaan yang boleh dimanfaatkan oleh koperasi mengikut keperluan dan potensi kawasan masing-masing”, ujarnya.

Tambah beliau, koperasi perlu mengenal pasti produk yang mempunyai permintaan dan keperluan anggota kariah dan komuniti sekitar. Bina perniagaan yang mampu berkembang dari semasa ke semasa. Hubungan rapat antara koperasi dan anggota kariah juga boleh dimanfaatkan untuk membentuk satu ekosistem ekonomi yang saling menyokong di samping pengurusan yang baik.

“Kabin itu boleh menjadi ruang untuk memasarkan produk anggota serta membuka peluang kepada usahawan kecil di kawasan sekitar. ANGKASA akan terus memberikan sokongan kepada koperasi kariah masjid melalui latihan, bimbingan dan pembangunan kapasiti.

Koperasi perlu mengambil inisiatif untuk membina jaringan dengan pihak yang berkaitan. Kerjasama dengan pihak masjid, usahawan setempat, agensi kerajaan dan rakan strategik boleh membuka lebih banyak ruang untuk perniagaan berkembang.” ujarnya

Kemudahan kabin yang disediakan juga dapat membuka peluang kepada lebih ramai anggota dan usahawan setempat untuk meletakkan produk hasilan mereka bagi dijual oleh koperasi.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri (JKAN) Pahang Tengah, Dato’ Haji Mohamad Hanifah B K Koya Moideen Kutty, Timbalan Pengerusi JKAN Pahang Tengah, Dato’ Haji Zainal Azman Haji Bidin, Penasihat Korporat (Sektor Kerajaan), Dato’ Dr Haji Nasaruddin Othman, Pengerusi Masjid At-Taqwa, Haji Fattah Ismail dan Pengerusi Koperasi Kariah Masjid At-Taqwa Berhad, Haji Musa Mohamad.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine