ANGKASA terus memperkukuh hubungan kerjasama dan jaringan strategik bersama Unit Gaji Angkatan Tentera Malaysia (UGAT) menerusi penganjuran Program Mesra Boling ANGKASA bersama UGAT yang berlangsung di Ampang Super Bowl Times Square, Berjaya Times Square, Kuala Lumpur hari ini (26 September 2026).
Program tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, yang turut hadir bagi menyemarakkan program yang berkonsepkan sukan, silaturahim dan jaringan kerjasama antara kedua-dua organisasi.
Sebanyak 15 pasukan dengan penyertaan seramai 60 peserta. Penganjuran aktiviti boling ini menyediakan ruang kepada para peserta untuk berinteraksi dalam suasana santai, di samping menggalakkan semangat berpasukan dan persaingan secara sihat.
Dalam ucapan perasmian, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman menekankan kepentingan hubungan yang baik antara ANGKASA dan UGAT dalam memperkukuh kerjasama, khususnya melalui pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada anggota serta komuniti yang terlibat.
Turut hadir memeriahkan program ialah Pengurus Urusan Gaji Angkatan Tentera, Kolonel Azhar Ahmad, Penasihat ANGKASA (Sektor Kewangan), Puan Rihatun Abddah Meorzainal Abidin dan Pengurus Besar Kanan Kumpulan Kewangan Korporat ANGKASA Encik Hamzah Hj Ibrahim, serta Barisan Pengurusan Bahagian Perkhidmatan Kredit dan Kewangan ANGKASA.
Selain menjadi platform riadah, program ini turut mencerminkan komitmen ANGKASA dalam membina hubungan lebih erat dengan rakan strategik melalui pendekatan yang lebih santai dan inklusif. Aktiviti seperti ini juga dilihat dapat meningkatkan interaksi antara warga ANGKASA dan UGAT di luar suasana kerja rasmi.
Program Mesra Boling ANGKASA bersama UGAT diharap dapat diteruskan sebagai salah satu medium memperkukuh hubungan dua hala serta membuka ruang kepada lebih banyak program bersama pada masa akan datang, selaras dengan usaha ANGKASA memperluas jaringan kerjasama dan hubungan strategik dengan pelbagai pihak.





















