HomeAKTIVITIPemilihan Sebagai Ahli Lembaga ICA Satu Amanah- Datuk Seri Dr. Abdul Fattah

Pemilihan Sebagai Ahli Lembaga ICA Satu Amanah- Datuk Seri Dr. Abdul Fattah

Pemilihan sebagai Ahli Lembaga Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA) menerusi Perhimpunan Agung ICA di Panama City, Panama pada 15 September 2026 bukan sekadar satu kebanggaan, sebaliknya satu tanggungjawab dan amanah untuk membawa suara serta aspirasi gerakan koperasi negara dan rantau ASEAN ke peringkat antarabangsa.

Demikian antara inti pati ucapan Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, dalam Sesi Bersama Presiden bagi bulan September 2026 di Auditorium ANGKASA, Wisma Ungku A.Aziz, Kelana Jaya pada 28 September 2026.

Mengulas peranan yang dipikul bagi penggal 2026–2030, beliau berkata, tanggungjawab tersebut memerlukan komitmen dan kesungguhan beliau bersama seluruh warga kerja ANGKASA bagi memastikan ANGKASA terus berkembang seiring dengan pencapaian gerakan koperasi dunia.

Dalam konteks itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail, yang pernah menyandang kerusi dalam badan induk gerakan koperasi dunia itu bagi penggal 2017–2021 dan 2022–2026, atas legasi yang telah ditinggalkan dalam memperkukuh peranan ANGKASA serta mengangkat kedudukan gerakan koperasi Malaysia.

Seiring dengan tanggungjawab tersebut, beliau berkata, ANGKASA juga perlu memastikan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan mampu bersaing dengan perkhidmatan koperasi dari luar negara, selain terus memperkukuh skala dan daya saing gerakan koperasi Malaysia.

Dalam memastikan kesinambungan gerakan koperasi pada masa hadapan, katanya, pembangunan generasi muda perlu diberi perhatian supaya kepimpinan dan perjuangan koperasi dapat diteruskan oleh generasi seterusnya.

Menyentuh Deklarasi Panama pula, beliau berkata, deklarasi berkenaan menggariskan peranan koperasi dalam membina keamanan, keterangkuman dan kemakmuran bersama. Dalam konteks itu, koperasi tidak boleh lagi bergerak secara kecil-kecilan, sebaliknya perlu memainkan peranan lebih besar dalam menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara.

Sehubungan itu, menurut beliau, pengiktirafan terhadap peranan koperasi oleh pelbagai negara perlu diterjemahkan melalui usaha memastikan kerajaan turut menerima dan menyokong aspirasi yang terkandung dalam Deklarasi Panama.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh, yang mewakili warga ANGKASA, merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Dr. Abdul Fattah atas pemilihan berkenaan yang disifatkan sebagai satu pengiktirafan terhadap ANGKASA dan gerakan koperasi Malaysia.

Beliau turut menekankan kepentingan inovasi dalam memastikan ANGKASA terus berkembang, dengan berpandangan bahawa inovasi boleh bermula secara kecil-kecilan, asalkan mampu membawa perubahan dan memberi nilai tambah kepada organisasi.

Menurut beliau, budaya inovasi perlu terus dipupuk dalam kalangan warga ANGKASA supaya setiap idea dan penambahbaikan yang dilaksanakan dapat menyumbang kepada peningkatan kecekapan, kualiti perkhidmatan serta keupayaan organisasi untuk terus bergerak seiring dengan perubahan semasa.

Dalam majlis yang sama, turut berlangsung peluncuran buku Garis Panduan Pengurusan Projek ANGKASA (G3PA).

Hadir sama ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Naib-naib Presiden ANGKASA, iaitu Datuk Haji Mohamad Ali Hasan (hadir secara dalam talian), Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Dato’ Haji Ibrahim Haji Abdullah dan Haji Zaharuddin Alias (hadir secara dalam talian), Anggota Lembaga ANGKASA (wakil Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi), Haji Azizul Alias (hadir secara dalam talian), barisan Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri, Pengerusi Jawatankuasa Audit Dalaman ANGKASA, Dato’ Haji Shaharudin Mohd Sa’ad, Penasihat Korporat ANGKASA (Sektor Kerajaan), Dato’ Dr. Haji Mohd Nasiruddin Othman serta barisan Pengurusan Kanan ANGKASA.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine