HomeAKTIVITITimbalan Setiausaha Agung ASEAN Puji ACO atas Peranan Perkasa Gerakan Koperasi Serantau

Timbalan Setiausaha Agung ASEAN Puji ACO atas Peranan Perkasa Gerakan Koperasi Serantau

Timbalan Setiausaha Agung ASEAN bagi Komuniti Ekonomi ASEAN, H.E. Satvinder Singh mengucapkan tahniah kepada ASEAN Co-operative Organization (ACO) dan ANGKASA atas peranan aktif membantu Timor Leste memperkukuh gerakan koperasi negara itu menerusi sokongan teknikal dalam penganjuran The Dili Regional Cooperative Conference & Ministerial Dialogue 2026 (DRCCMD2026).

Beliau berkata, peranan ACO sebagai satu-satunya suara gerakan koperasi di peringkat ASEAN perlu terus diperkasakan menerusi inisiatif bantuan teknikal dan kerjasama serantau khususnya kepada negara serta komuniti koperasi yang memerlukan.

“Tahniah kepada ACO kerana berjaya mendapat pengiktirafan ASEAN sebagai salah satu Civil Society Organization di bawah Tunjang Sosio-Budaya ASEAN. Kami turut rasa berbangga melihat ACO sebagai satu-satunya suara gerakan koperasi di peringkat ASEAN yang begitu bersungguh-sungguh membantu negara-negara ASEAN lain memperkasakan gerakan koperasi serantau.”

Beliau berkata demikian ketika bertemu Presiden ANGKASA merangkap Presiden ACO, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah bersama delegasi Malaysia pada Majlis Makan Malam Pembukaan DRCCMD2026.

“Kami mengharapkan ACO akan terus menjuarai inisiatif seperti pemberian bantuan teknikal seperti ini kepada negara dan komuniti koperasi yang memerlukan,” katanya.

DRCCMD2026 yang berlangsung pada 2 hingga 3 Oktober 2026 di Dili dianjurkan sebagai kesinambungan kepada ASEAN Co-operative Dialogue 2025 (ACD2025), selain menjadi platform untuk mengangkat agenda koperasi sebagai sebahagian daripada perbincangan di peringkat ASEAN pada masa akan datang.
Agenda berkenaan disasarkan untuk dibawa dalam mesyuarat-mesyuarat peringkat ASEAN di Singapura pada 2027, Vietnam pada 2028 dan Timor Leste pada 2029.

Dalam perkembangan berkaitan, ACO akan memastikan segala usul yang melibatkan pembangunan polisi dan dasar koperasi serantau serta usaha memperkukuh jaringan dan perdagangan koperasi kekal sejajar dengan empat resolusi yang dicapai menerusi ACD2025, ASEAN Co-operative Networking 2025 dan ASEAN Co-operative Strategic Roundtable 2026.

Usaha tersebut turut mengambil kira keselarasan dengan Deklarasi Panama yang dicapai pada International Cooperative Alliance Global Assembly di Panama baru-baru ini.

Sementara itu, delegasi Malaysia turut menerima sambutan istimewa daripada pihak Secretary of State for Cooperatives (SECoop) Timor Leste yang diketuai H.E. Arsenio Pereira da Silva apabila memberikan kejutan kepada Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah sempena sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-67.

Peranan ACO dalam menyelaras kerjasama antara badan puncak koperasi serta kementerian dan agensi berkaitan di negara-negara ASEAN turut menjadi antara fokus utama pengantarabangsaan gerakan koperasi serantau.

ACO juga berperanan menyediakan bantuan teknikal termasuk memudah cara kerjasama strategik, padanan perniagaan serta pembangunan kapasiti koperasi di rantau ASEAN.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine