HomeUncategorizedKoperasi Baharu Perlu Bina Asas Kukuh dalam 100 Hari Pertama

Koperasi Baharu Perlu Bina Asas Kukuh dalam 100 Hari Pertama

Koperasi baharu disaran memberi tumpuan kepada pembinaan asas pengurusan yang kukuh, penetapan fokus perniagaan serta pemantauan kedudukan kewangan dalam tempoh 100 hari pertama selepas pendaftaran bagi memastikan operasi dapat dilaksanakan secara terancang dan berdaya maju.

Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud berkata, koperasi perlu mengenal pasti kepakaran anggota, menilai peluang perniagaan berdasarkan permintaan pasaran serta memastikan setiap keputusan mengambil kira kemampuan modal dan kapasiti pengurusan.

Beliau berkata demikian sewaktu Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Permulaan Koperasi Wangsa Jaya Strategik Berhad (Dalam Pendaftaran) di Bangi Golf Resort, Bandar Baru Bangi pada 11 Oktober 2026.

Menurutnya, pengurusan koperasi juga perlu berasaskan tadbir urus yang baik melalui rekod keputusan yang teratur, pembahagian peranan yang jelas serta pengisytiharan konflik kepentingan bagi memastikan kepentingan anggota sentiasa terpelihara.

Beliau turut menggalakkan penggunaan rekod digital bagi mengurus keanggotaan, kewangan dan pemantauan projek, selain menyarankan koperasi mendapatkan bimbingan daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) serta latihan daripada Institut Koperasi Malaysia (IKMa).

“Dalam konteks Koperasi Wangsa Jaya Strategik Berhad pula, hasrat menghimpunkan usahawan, profesional dan individu berkeupayaan tinggi merupakan asas yang baik.

Kepelbagaian pengalaman ini boleh membantu koperasi memahami pasaran, membangunkan perkhidmatan dan mengurus pelaksanaan dengan lebih berkesan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut menggalakkan Koperasi Wangsa Jaya Strategik Berhad untuk perusahaan sosial (Social Enterprise) sebagai pendekatan perniagaan yang bukan sahaja menjana pendapatan, malah membuka peluang pekerjaan dan membantu meningkatkan taraf hidup golongan kurang bernasib baik.

“Perusahaan sosial berpotensi menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi yang lebih inklusif dengan menggabungkan matlamat perniagaan dan penyelesaian masalah sosial.

Ia juga membuka ruang kepada golongan berpendapatan rendah dan kumpulan rentan untuk terlibat dalam aktiviti ekonomi, termasuk sebagai pekerja atau sebahagian daripada rantaian nilai sesebuah organisasi.

Sebagai contoh, antara kumpulan yang boleh mendapat manfaat menerusi pendekatan itu ialah komuniti Orang Asli serta bekas banduan dan individu yang sedang membina kehidupan baharu,” ujarnya.

Tambahnya, pendekatan berkenaan berpotensi membantu golongan terbabit memperoleh pendapatan, membina kemahiran dan mengurangkan kebergantungan kepada bantuan, sekali gus menjadikan perusahaan sosial sebagai salah satu instrumen membasmi kemiskinan.

Sementara itu, Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, koperasi baharu perlu memilih peluang perniagaan yang bersesuaian dengan kepakaran anggota dan permintaan pasaran, selain menilai kos, risiko serta keperluan kewangan sebelum melaksanakan sesuatu projek.

Menurutnya, kekuatan koperasi bukan terletak pada jumlah aktiviti perniagaan yang diceburi, sebaliknya keupayaan memilih peluang yang berdaya maju dan menguruskannya dengan baik supaya dapat memberikan pulangan kepada anggota.

Dalam usaha memperkukuh pengurusan koperasi, ANGKASA turut menyediakan sokongan melalui pendidikan dan latihan koperasi, khidmat nasihat perakaunan, Sistem Pengurusan Berkomputer ANGKASA (SPBA) serta bantuan dari aspek pemasaran dan jaringan kerjasama.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif SKM, Haji Mohd Marzuki Yasoa’, Pengarah SKM Cawangan Wilayah Persekutuan, Haji Fadilah Salim, Pengerusi Penaja Koperasi Wangsa Jaya Strategik Berhad (Dalam Pendaftaran), Dato’ Dr. Ibrisam Abdul Rahman serta Penasihat Korporat ANGKASA (Sektor Kerajaan), Dato’ Dr. Haji Nasiruddin Othman.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine