Koperasi Pembiayaan Syariah ANGKASA Berhad (KOPSYA) terus memperkukuh peranannya dalam menyediakan kemudahan pembiayaan mikro patuh syariah menerusi perasmian KOPSYA Ar-Rahnu di Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor, hari ini (18 Oktober 2026).
Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Leftenan Jeneral Datuk Ahmad Norihan bin Jalal (B), dengan kehadiran Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi KOPSYA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah.
Dalam ucapannya, Datuk Ahmad Norihan berkata, penglibatan KOPSYA dalam sektor Ar-Rahnu merupakan langkah strategik bagi memenuhi keperluan masyarakat terhadap kemudahan pembiayaan mikro yang mudah, pantas, telus dan berlandaskan prinsip syariah. Perkhidmatan ini turut membantu usahawan kecil, penjaja serta golongan B40 dan M40 mendapatkan modal pusingan perniagaan atau memenuhi keperluan kewangan kecemasan.
Beliau turut menegaskan bahawa perkhidmatan Ar-Rahnu berperanan melindungi masyarakat daripada terjerat dengan pinjaman wang tidak berlesen. Dalam masa sama, beliau mengingatkan pihak pengurusan KOPSYA supaya mengutamakan pematuhan syariah, integriti petugas dan pendigitalan perkhidmatan bagi meningkatkan kecekapan operasi serta keyakinan pelanggan.
Sementara itu, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah berkata, penubuhan KOPSYA Ar-Rahnu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan KOPSYA untuk mempelbagaikan produk dan perkhidmatan kewangan Islam serta memperluas manfaatnya kepada anggota koperasi dan masyarakat setempat. Menurut beliau, perkembangan positif cawangan berkenaan membuktikan potensi Ar-Rahnu sebagai instrumen pembiayaan mikro yang relevan dengan keperluan semasa.
Bagi tempoh November 2025 hingga September 2026, KOPSYA Ar-Rahnu Saujana Utama merekodkan jumlah pembiayaan sebanyak RM10.1 juta dengan nilai marhun RM13.2 juta, melibatkan 1,588 Surat Akuan Gadaian (SAG). Cawangan yang mula beroperasi pada 1 November 2025 itu menyediakan alternatif pembiayaan jangka pendek kepada peniaga, usahawan kecil dan keluarga yang memerlukan kemudahan tunai.
Berdasarkan prestasi tersebut, KOPSYA merancang membuka cawangan Ar-Rahnu kedua di Subang Bestari, Shah Alam, Selangor, yang dijangka mula beroperasi pada suku pertama 2027. Langkah pengembangan itu mencerminkan komitmen KOPSYA untuk memperluas akses kepada perkhidmatan kewangan Islam yang mudah, telus dan mampan.
Dalam perkembangan berkaitan, KOPSYA mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM12.7 juta pada tahun 2025, iaitu yang tertinggi dalam sejarah penubuhannya. KOPSYA turut menduduki tempat ke-16 dalam senarai Koperasi Terbaik Malaysia 2026 dan tempat kelapan Koperasi Terbaik Wilayah Persekutuan, sekali gus mencerminkan prestasi kewangan serta keupayaan pengurusannya.
Majlis tersebut turut meraikan pelantikan Datuk Seri Dr. Abdul Fattah sebagai Ahli Lembaga Pengarah International Cooperative Alliance (ICA) bagi tahun 2026, yang disifatkan sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan beliau dan kebanggaan kepada gerakan koperasi Malaysia. Pencapaian itu diharap dapat memperkukuh kedudukan koperasi negara di peringkat antarabangsa, seiring usaha KOPSYA memperluas perkhidmatan kewangan Islam yang memberi manfaat kepada anggota dan masyarakat.
Hadir sama pada majlis itu ialah, Ketua Pegawai Eksekutif SKM, Haji Mohd Marzuki Yasoa’, Pengarah SKM Wilayah Persekutuan, Haji Fadilah Salim, Timbalan Pengerusi KOPSYA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Ar-Rahnu, Dato” Jamil Othman, Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, barisan Anggota Lembaga ANGKASA dan barisan Anggota Lembaga KOPSYA.








































