Wanita dalam gerakan koperasi perlu melangkah lebih jauh daripada sekadar menjadi anggota aktif dengan mengambil peranan sebagai peneraju perniagaan, pembuat keputusan dan pemimpin yang mampu menjana pertumbuhan ekonomi komuniti.
Naib Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Fungsi Pembangunan Perniagaan Koperasi, Dato’ Haji Kamarudin Ismail berkata, kejayaan penglibatan wanita dalam koperasi perlu diukur melalui hasil yang nyata, termasuk peningkatan pendapatan, pertumbuhan perniagaan, penciptaan peluang pekerjaan dan daya saing koperasi.
Menurut beliau, usahawan wanita koperasi perlu memperkukuh kemahiran dalam pengurusan kewangan, pemasaran digital, penjenamaan produk dan pengurusan operasi bagi memastikan perniagaan mampu berkembang dalam persekitaran ekonomi yang semakin mencabar.
“Kejayaan tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah program yang dianjurkan atau jumlah peserta yang hadir semata-mata, tetapi juga berdasarkan peningkatan pendapatan, pertumbuhan perniagaan, penciptaan peluang pekerjaan dan kemampuan koperasi untuk terus berdaya saing,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Wanita Dalam Koperasi 2026 di KSL Esplanade Hotel, Klang pada 24 Oktober 2026.
Beliau juga menekankan kepentingan memperluas pasaran produk dan perkhidmatan koperasi wanita, termasuk menembusi pasaran korporat serta platform digital, selain meneroka sektor berpotensi seperti makanan dan minuman, pelancongan, produk tempatan, penjagaan diri dan ekonomi digital.
Dato’ Haji Kamarudin turut menggesa peserta memanfaatkan karnival jualan, pameran dan sesi pemadanan perniagaan sepanjang konvensyen bagi membina hubungan komersial yang berterusan, sekali gus membuka peluang kontrak perniagaan, pembekalan dan jaringan pemasaran.
“Kita mahu melihat hasil konvensyen ini diterjemahkan kepada kontrak perniagaan, peluang pembekalan, jaringan pemasaran dan peningkatan jualan yang dapat diukur selepas program berakhir,” katanya.
Beliau turut menegaskan kepentingan kerjasama antara ANGKASA, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dalam memperkukuh jaringan perniagaan, menyediakan latihan serta meningkatkan kompetensi wanita koperasi supaya peluang yang diwujudkan dapat diterjemahkan kepada hasil yang berpanjangan.
“Berdasarkan statistik, terdapat 271 koperasi wanita pada 2025, dengan 152 daripadanya merupakan koperasi aktif. Angka tersebut memperlihatkan kepentingan usaha berterusan untuk memperkukuh keupayaan perniagaan dan kelestarian koperasi wanita,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi ANGKASA Negeri Sembilan merangkap Pengerusi Konvensyen Wanita Dalam Koperasi 2026, Hajah Noorizan Abd Latif berkata, penyertaan kira-kira 300 pemimpin wanita dalam konvensyen berkenaan mencerminkan komitmen dan kebangkitan wanita dalam memacu gerakan koperasi negara.
Beliau berkata, wanita yang menganggotai lembaga koperasi bukan sekadar memenuhi kuota, sebaliknya memainkan peranan penting dalam merangka strategi, menentukan hala tuju perniagaan dan mengurus risiko serta kewangan koperasi.
Mengangkat tema “Keusahawanan Wanita Penggerak Ekonomi MADANI”, beliau turut menyeru peserta supaya memperluas pemikiran terhadap inovasi, pemasaran digital dan pembiayaan strategik, selain membina jaringan sesama koperasi bagi meneroka pasaran yang lebih besar.
Beliau turut mengingatkan peserta supaya membawa pulang tindakan yang boleh dilaksanakan daripada konvensyen itu, bukan sekadar nota dan pengalaman, agar ilmu serta jaringan yang diperoleh dapat dimanfaatkan dalam mesyuarat dan operasi koperasi masing-masing.
Konvensyen Wanita Dalam Koperasi 2026 menghimpunkan pemimpin wanita koperasi dari seluruh negara dengan tumpuan kepada pengukuhan keusahawanan, pembangunan kepimpinan dan peluasan peluang perniagaan bagi memperkasa peranan wanita dalam gerakan koperasi Malaysia.
Turut berlangsung ialah pembentangan kertas kerja bertajuk “ANGKASA dan Keusahawanan Koperasi” oleh Ketua Pegawai Pengurusan Kumpulan ANGKASA, Haji Anuar Bulin.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pengurus Besar Kanan Kumpulan Pembangunan Koperasi ANGKASA, Haji Nor Azmi Abdul Jalil.


