Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik menyampaikan ucapan dan pembentangan secara dalam talian menerusi platform Zoom dalam forum antarabangsa “Cooperatives Pushing Boundaries: An International Benchmarking” anjuran Philippine Cooperative Center (PCC) pada 24 November 2026.
Pembentangan bertajuk “How ANGKASA & Multilateral Alliances (ICA, ICA-AP, ACO, MBO) Propel Malaysian Cooperatives onto the Regional & Global Stage” itu mengetengahkan peranan serta sumbangan ANGKASA dalam memperkasakan gerakan koperasi Malaysia, selain memperluas penglibatannya di peringkat serantau dan antarabangsa.
Antara perkara yang dikongsikan termasuk sejarah penubuhan ANGKASA pada tahun 1971, kedudukannya sebagai badan puncak yang mewakili gerakan koperasi Malaysia, struktur gerakan koperasi negara serta aspirasi pembangunan sektor tersebut.
Pembentangan itu turut memaparkan pencapaian gerakan koperasi Malaysia berdasarkan statistik tahun 2025 yang merekodkan sebanyak 16,468 koperasi berdaftar dengan keanggotaan seramai 7.3 juta orang. Gerakan koperasi negara turut mencatatkan jumlah syer dan yuran sebanyak RM18.6 bilion, aset bernilai RM186.7 bilion serta perolehan tahunan sebanyak RM81.6 bilion.
Selain itu, beliau turut menjelaskan peranan ANGKASA dalam menyatukan dan mewakili gerakan koperasi di peringkat nasional serta antarabangsa, memperkukuh jaringan kerjasama, membangunkan peluang perniagaan koperasi dan memacu pertumbuhan gerakan melalui perkongsian ilmu, teknologi serta pembangunan perniagaan.
Penyertaan ANGKASA dalam forum anjuran PCC tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan badan puncak itu untuk memperluas jaringan kerjasama antarabangsa, berkongsi pengalaman serta amalan terbaik, di samping memperkenalkan keupayaan gerakan koperasi Malaysia kepada komuniti koperasi global.





