ANGKASA memperkukuh kerjasama strategik bersama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerusi pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) serta penyaluran geran penyelidikan bernilai RM20,000 bagi menyokong pembangunan sektor koperasi, khususnya dalam bidang pelancongan mesra Muslim.
Komitmen tersebut diserlahkan menerusi penglibatan Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik dalam simbolik pertukaran dokumen kerjasama bersempena Majlis Apresiasi Rakan Industri dan Masyarakat USIM 2026 yang berlangsung di Nilai Springs Resort Hotel, Nilai, Negeri Sembilan pada 25 November 2026.
Kerjasama berkenaan membuka ruang kepada ANGKASA dan USIM untuk meneroka pelbagai bidang yang memberi manfaat bersama, termasuk khidmat rundingan dan kepakaran pembangunan koperasi, program akademik dan latihan, pembangunan modal insan, pembelajaran sepanjang hayat serta penyelidikan dan penerbitan bersama.
Geran penyelidikan RM20,000 yang disalurkan ANGKASA pula akan digunakan bagi kajian pembangunan Modul Latihan Pelancongan Mesra Muslim Berasaskan Komunikasi Strategik, Penjenamaan dan Keterlihatan Digital Koperasi. Kajian itu bertujuan mengenal pasti tahap keterlihatan, keupayaan dan pengukuhan jenama koperasi dalam sektor pelancongan mesra Muslim melalui strategi komunikasi digital yang lebih berkesan.
Menurut Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Sharaani, kerjasama universiti, industri dan masyarakat melalui perkongsian ilmu, pengalaman serta teknologi mampu membantu menangani pelbagai cabaran yang dihadapi industri dan komuniti, sekali gus memberikan manfaat kepada semua pihak.
Beliau turut melihat kerjasama berkenaan sebagai selari dengan The New Industrial Master Plan 2030 (NIMP 2030), yang membuka peluang kepada USIM untuk menyumbang dalam pembangunan industri dan komuniti negara, khususnya dalam sektor halal, peralatan perubatan, digital dan ICT, elektrik dan elektronik serta farmaseutikal.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USIM, Prof. Ts. Dr. Mohd Ikmar Nizam Mohamad Isa berkata, kerjasama universiti-industri-masyarakat turut selari dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 yang menekankan kepentingan hubungan strategik dengan industri.
Menurut beliau, kerjasama tersebut berperanan merancakkan pembangunan ekonomi, memperkukuh kebolehpasaran bakat serta memacu inovasi, selain membina hubungan bermakna dengan masyarakat bagi memenuhi keperluan sosial, meningkatkan kesejahteraan dan menyokong pembangunan inklusif.
Majlis Apresiasi Rakan Industri dan Masyarakat USIM 2026 dianjurkan menerusi Pusat Libatsama Masyarakat dan Jaringan Industri (PLiMJI) sebagai penghargaan kepada rakan industri dan komuniti yang telah menjalin kerjasama serta menyumbang kepada kecemerlangan dan pembangunan universiti sepanjang 2025.
Majlis itu turut menyaksikan penyampaian sembilan anugerah kepada rakan industri, rakan komuniti serta pihak yang menunjukkan penglibatan aktif dalam jaringan industri dan libatsama masyarakat, selain menjadi platform memperkukuh hubungan strategik dan menggalakkan kerjasama berterusan antara USIM dengan pihak industri dan komuniti.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Prof. Dr. Mushaddad Hasbullah, Pengarah Pusat Libatsama Masyarakat dan Jaringan Industri (PLiMJI) USIM, Dr. Hammad Farhi Mohd Saudi dan Pengerusi ANGKASA Negeri Sembilan, Hajah Noorizan Abd. Latif.


