Hari kedua lawatan rasmi delegasi ANGKASA di Indonesia mencatatkan satu pencapaian penting dengan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara ANGKASA dan Badan Amil Zakat Nasional (BAZNAS) Republik Indonesia yang berlangsung di Pejabat BAZNAS, Jakarta pada hari ini (5 Februari 2026).
Majlis menandatangani MoU tersebut disaksikan oleh kedua-dua pihak dan diketuai oleh Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO) dan Naib Presiden International Cooperative Alliance–Asia and Pacific (ICA-AP), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah selaku Ketua Delegasi ANGKASA dan Wakil Ketua BAZNAS, H. Mokhamad Mahdum.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran barisan kepimpinan tertinggi BAZNAS, antaranya; Pimpinan BAZNAS Bidang Koordinasi Nasional, KH. Achmad Sudrajat dan Timbalan I BAZNAS, M. Arifin Purwakananta.
MoU ini bertujuan memperkukuh kerjasama strategik dalam pengurusan zakat, pembangunan koperasi masjid serta pelaksanaan program ekonomi ummah yang bersepadu dan berimpak tinggi. Kerjasama ini turut merangkumi aspek perkongsian kepakaran, latihan, penyelidikan dan pembangunan model koperasi masjid yang mampan serta berdaya maju.
Dalam ucapannya, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah menyatakan bahawa sinergi antara institusi zakat dan koperasi masjid merupakan pendekatan terbaik dalam memperkasa ekonomi umat Islam.
Menurut beliau, “Pengurusan zakat yang digabungkan dengan kekuatan koperasi masjid mampu menjana pembangunan ekonomi ummah secara lebih tersusun dan mampan.”
Dalam majlis yang sama, ANGKASA turut menyampaikan sumbangan infaq kepada lima buah masjid melalui BAZNAS Republik Indonesia, berjumlah USD 15,000 bersamaan dengan Rp 252 juta, sebagai manifestasi komitmen ANGKASA dalam memperkukuh kerjasama strategik serta menyokong usaha kebajikan dan pembangunan ummah di peringkat serantau.
Pada sebelah petang, delegasi ANGKASA meneruskan program dengan Majlis Pelancaran, Lawatan dan Perbincangan bersama Kariah Masjid Annimah, Jakarta Timur. Program ini memberi tumpuan kepada peranan masjid sebagai pusat pembangunan komuniti, termasuk potensi pelaksanaan aktiviti ekonomi berasaskan koperasi yang mampu menjana pendapatan dan memperkukuh kebajikan kariah.
Kehadiran delegasi ANGKASA di Masjid Annimah turut disambut oleh Kepala Divisi Bank Zakat BAZNAS, Ustaz Noor Azis, yang menyatakan penghargaan atas kesediaan ANGKASA berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam pembangunan koperasi kariah masjid. Beliau turut menzahirkan harapan agar lawatan dan perbincangan tersebut dapat membuka ruang kerjasama yang lebih luas antara BAZNAS dan ANGKASA dalam memperkasa ekonomi ummah melalui pendekatan masjid sebagai pusat pembangunan komuniti.
Secara keseluruhannya, program hari kedua ini mencerminkan kesungguhan ANGKASA dalam memperluas jaringan strategik antarabangsa serta memperkukuh peranan koperasi sebagai instrumen penting dalam pembangunan ekonomi, sosial dan kebajikan masyarakat di peringkat serantau dan global.
Turut serta dalam lawatan tersebut ialah, Pengurus Besar Kanan Kumpulan Pembangunan Koperasi, Tuan Haji Nor Azmi Abd. Jalil, Pengurus Kanan Bahagian Pembangunan dan Perniagaan Koperasi Kariah Masjid, Ustaz Mohd Safian Abdul Rahman dan Pengurus Malaysian Business Office, Bahagian Antarabangsa, Hajah Wan Azwati Wan Mohamed.































