ANGKASA tampil sebagai antara 139 rakan strategik sektor swasta dan korporat yang menyumbang tajaan bagi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 (HKHM 2026).
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah menyerahkan sumbangan berjumlah RM30,000 dalam bentuk cek cura kepada Menteri Komunikasi, YB Dato’ Seri Fahmi Fadzil dalam Majlis Penyerahan Sumbangan Penajaan Rakan Strategik Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 di Putrajaya pada 12 Ogos 2026.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Timbalan Menteri Komunikasi, YB Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, YBhg. Datuk Abdul Halim Hamzah dan Setiausaha Bahagian Kawalan dan Pematuhan, Kementerian Komunikasi, Encik Kamarudin Abdul Rani.
Dalam ucapannya, YB Dato’ Seri Fahmi berkata, nilai keseluruhan penajaan HKHM 2026 setakat ini mencecah RM48.63 juta, membabitkan sumbangan daripada 139 rakan strategik.
Beliau berkata, sumbangan tersebut merangkumi pelbagai kategori penajaan, iaitu platinum, emas, perak, gangsa, tembaga, logistik dan promosi.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 118 peratus berbanding RM22.3 juta yang direkodkan pada tahun lalu.
Mengulas agihan nilai tajaan, beliau berkata, sebanyak 50 peratus diperuntukkan bagi tujuan promosi, 30 peratus untuk barangan agihan kepada pengunjung, manakala 20 peratus disalurkan kepada jawatankuasa penganjuran.
Turut hadir ialah Pengurus Besar Bahagian Korporat ANGKASA Merangkap Pegawai Khas Presiden ANGKASA (Menanggung tugas Pengurus Besar Kanan Kumpulan Tadbir Urus dan Pentadbiran ANGKASA), Encik Halim Haji Ibrahim.


















