Satu sesi pertemuan antara ANGKASA dan Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) bagi membincangkan peluang kerjasama strategik telah berlangsung di Ibu Pejabat ANGKASA, Kelana Jaya pada 12 Ogos 2026.
CFM yang merupakan sebuah organisasi di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diwakili oleh
Pengurus Kanan Hal Ehwal Korporat dan Awam, Puan Norzanah Johari dan
Eksekutif Kanan, Puan Dzareen Shamsir manakala wakil ANGKASA pula diketuai oleh Naib Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kumpulan Perniagaan Koperasi, Tuan Haji Zaharuddin Alias.
Dalam pertemuan itu, pihak CFM telah menerangkan mengenai peranan dan fungsi organisasi yang bertanggungjawab sebagai platform yang melindungi hak pengguna dan memupuk kawal selia kendiri dalam sektor telekomunikasi, penyiaran serta multimedia di Malaysia di bawah naungan MCMC.
Fungsi utama CFM adalah membantu pengguna dalam menyelesaikan isu dan aduan yang melibatkan perkhidmatan telekomunikasi, membangunkan garis panduan etika penyampaian perkhidmatan oleh syarikat komunikasi serta menjalankan program kesedaran awal untuk mendidik masyarakat tentang hal mereka sebagai pelanggan.
Menerusi perbincangan tersebut, CFM berhasrat untuk mengadakan satu kerjasama strategik dengan ANGKASA bagi menjalankan program kesedaran kepada semua anggota koperasi.
Antara perkara lain yang dibincangkan adalah tawaran penglibatan sama ada ANGKASA, koperasi atau anggota koperasi sebagai ahli kepada CFM yang boleh turut serta dalam program yang akan dianjurkan oleh CFM.
Cadangan kerjasama strategik itu juga dilihat dapat membantu kerajaan khususnya dalam mendidik pengguna terutamanya anggota koperasi mengenai hak sebagai pelanggan telekomunikasi dan saluran serta proses aduan yang berkesan.


