HomeKOPERASIMAGKP 2026 Perkasa Gerakan Koperasi Pahang, Pacu Ekonomi Rakyat

MAGKP 2026 Perkasa Gerakan Koperasi Pahang, Pacu Ekonomi Rakyat

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail merasmikan Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi Negeri Pahang (MAGKP) 2026 yang dianjurkan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Pahang pada 13 Ogos 2026.

Program yang berlangsung di Grand Darul Makmur Hotel, Kuantan itu merupakan satu bentuk pengiktirafan terhadap kecemerlangan serta sumbangan gerakan koperasi dalam pembangunan sosioekonomi negeri.

Dalam ucapannya, beliau berkata gerakan koperasi kini berkembang sebagai satu kekuatan ekonomi penting dengan 1,211 koperasi berdaftar, melibatkan 314,537 anggota serta merekodkan perolehan melebihi RM1.13 bilion dan aset berjumlah lebih RM1.73 bilion pada 2025.

“Kita mahu ekonomi negeri terus berkembang, tetapi dalam masa yang sama kita mahu rakyat turut merasai manfaatnya. Sebab itu, koperasi mempunyai peranan yang sangat besar kerana kekuatan koperasi sebenarnya datang daripada rakyat dan manfaatnya juga kembali kepada rakyat,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa kepentingan tadbir urus, integriti dan pengurusan profesional dalam memastikan koperasi terus berdaya saing, selain berani meneroka bidang perniagaan baharu, menggunakan teknologi serta memperluaskan pasaran.

Katanya, Kerajaan Negeri Pahang akan terus menyokong gerakan koperasi termasuk melalui peruntukan RM600,000 pada 2026 bagi memperkasa ekonomi ummah menerusi koperasi kariah masjid.

Beliau juga menyeru koperasi yang berjaya agar tidak cepat berpuas hati di samping menjadikan pencapaian tersebut sebagai motivasi untuk terus meningkatkan prestasi demi manfaat anggota serta kesejahteraan rakyat Pahang.

MAGKP 2026 turut menyaksikan penyampaian pelbagai anugerah kepada koperasi berprestasi cemerlang, termasuk Anugerah Koperasi Terbaik Negeri Pahang 2026 yang dimenangi Koperasi Serbausaha Makmur Berhad, diikuti Koperasi Serbaguna Dara Berhad dan Koperasi Pegawai-Pegawai Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur Berhad. Enam koperasi turut diiktiraf selepas tersenarai dalam Indeks 100 Koperasi Terbaik Malaysia 2026.

Sementara itu, Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, penganjuran MAGKP 2026 bukan sahaja menjadi platform mengiktiraf kejayaan koperasi, malah turut berperanan sebagai pemangkin kepada pengukuhan kerjasama dan jaringan perniagaan dalam gerakan koperasi.

“Pengiktirafan seperti ini menjadi pemangkin kepada koperasi untuk terus mencapai kecemerlangan. ANGKASA akan terus menyokong usaha memperkasakan koperasi melalui pelbagai program, projek dan sokongan strategik agar gerakan koperasi kekal relevan serta berdaya saing,” katanya.

Majlis tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Pahang, SKM dan ANGKASA dalam memperkukuh ekosistem koperasi sebagai pemacu ekonomi rakyat yang inklusif, mampan dan berdaya saing.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi & Usahawan Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Dato’ Amizar Abu Adam, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Pahang, Encik Mohd Firdaus Shaari serta Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Puan Hamidah Mohd Jos.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine