ANGKASA dan MEASAT Broadcast Network Systems Sdn. Bhd. (Astro) pada 22 September 2026 telah memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meneroka kerjasama strategik yang membuka akses lebih luas kepada produk dan perkhidmatan Astro menerusi rangkaian serta ekosistem koperasi di seluruh negara.
Kerjasama yang ditandatangani oleh Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah bagi pihak ANGKASA dan Ketua Pegawai Komersial Astro, Tai Kam Leong bagi pihak Astro antaranya merangkumi pelaksanaan promosi dan pemasaran pakej langganan Astro kepada anggota koperasi dan penjawat awam, program affiliate marketing, penawaran pakej khas kepada koperasi serta tawaran istimewa kepada segmen korporat yang diperkenalkan oleh ANGKASA.
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah ketika bercakap dalam sidang media menyatakan bahawa setiap kerjasama yang dibina perlu mempunyai tujuan yang jelas, iaitu perlu memberikan nilai tambah kepada kedua-dua pihak dan yang paling penting membawa manfaat kepada anggota koperasi dan juga masyarakat secara keseluruhannya.
Katanya, kerjasama itu akan membuka ruang untuk meneroka promosi dan pemasaran pakej langganan Astro kepada anggota koperasi melalui rangkaian dan platform ANGKASA termasuk program pemasaran strategik serta penawaran pakej khas kepada koperasi sekolah.
“Saya percaya kekuatan sesuatu kerjasama terletak pada keupayaan kedua-dua pihak untuk saling melengkapi. Apabila kekuatan ini digabungkan secara strategik, kita boleh mencipta nilai yang lebih besar.
Koperasi juga perlu memahami perubahan ini. Kita tidak boleh hanya bergantung kepada pendekatan yang sama seperti dahulu. Kita perlu melihat bagaimana teknologi dan platform digital boleh digunakan untuk memberikan pengalaman yang lebih baik kepada anggota”, ujar beliau.
Inisiatif tersebut juga katanya selari dengan usaha ANGKASA untuk memperkukuh jaringan di peringkat nasional dan antarabangsa seiring dengan pemilihan beliau sebagai Ahli Lembaga Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA) bagi penggal 2026 hingga 2030.
Di samping itu, beliau juga mahu gerakan koperasi lebih terbuka kepada peluang kerjasama dengan pelbagai sektor serta mahu koperasi lebih bersedia untuk mengambil peluang yang datang daripada perkembangan ekonomi dan teknologi.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Naib-naib Presiden ANGKASA, iaitu Dato’ Haji Kamarudin Ismail dan Haji Zaharuddin Alias, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh, Penasihat Korporat ANGKASA (Sektor Kerajaan), Dato’ Dr. Haji Mohd Nasiruddin Othman dan Pengurus Besar Bahagian Korporat ANGKASA Merangkap Pegawai Khas Presiden ANGKASA (Menanggung tugas Pengurus Besar Kanan Kumpulan Tadbir Urus dan Pentadbiran), Halim Haji Ibrahim.







