ANGKASA, selaku badan apeks gerakan koperasi negara, terus membawa aspirasi gerakan koperasi menerusi penyertaan kontinjen ANGKASA dalam Perbarisan dan Perarakan Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos 2026.
Kontinjen yang diselaraskan oleh Bahagian Korporat ANGKASA itu tampil dengan kekuatan 50 anggota warga ANGKASA dan diketuai Pengurus Besar Bahagian Korporat ANGKASA merangkap Pegawai Khas Presiden ANGKASA yang menjalankan tugas Pengurus Besar Kanan Kumpulan Tadbir Urus dan Pentadbiran, Encik Halim Haji Ibrahim.
Penyertaan ANGKASA dalam sambutan yang penuh meriah itu menjadi manifestasi semangat patriotisme gerakan koperasi, selain mencerminkan komitmen ANGKASA untuk terus bersama-sama menyumbang kepada pembangunan negara.
ANGKASA merupakan antara 43 agensi dan syarikat yang menyertai perbarisan dalam Komponen Ekonomi sebagai Kontinjen Kesejahteraan Ekonomi – Kluster Kesejahteraan dan Ekonomi Rakyat, yang melibatkan keseluruhan 1,859 peserta. Kluster berkenaan menampilkan organisasi yang berperanan memperkasakan ekonomi rakyat menerusi keusahawanan, perdagangan, perkhidmatan pengguna dan gaya hidup.
Kontinjen ANGKASA tahun ini turut dimeriahkan dengan penampilan Maskot Rasmi ANGKASA, “BeeRo”, yang bersama-sama membawa identiti dan semangat gerakan koperasi ke pentas perbarisan.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah turut hadir bagi memberikan sokongan dan semangat kepada kontinjen ANGKASA.
Mewakili Lembaga ANGKASA, beliau merakamkan penghargaan kepada kontinjen ANGKASA atas komitmen yang ditunjukkan sepanjang menyertai perbarisan berkenaan. Beliau turut menyatakan rasa bangga terhadap semangat dan persembahan yang ditampilkan kontinjen itu, yang melambangkan semangat patriotisme warga gerakan koperasi.
Sambutan Hari Kebangsaan 2026 diserikan dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Hadir sama ialah Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, YB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta barisan Jemaah Menteri.
Bertemakan “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, acara perbarisan dan perarakan tahun ini melibatkan 76 kontinjen, 22 kumpulan pancaragam dan 11 kereta berhias, dengan penyertaan 10,819 peserta yang terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan, pasukan keselamatan, badan beruniform, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi serta wakil masyarakat sivil.
Buat julung kalinya, sambutan itu turut disertai Askar Timbalan Setia Negeri Johor, kontinjen Sukan SEA 2027 dan kontinjen Kluster Kelestarian Ekonomi Jingga.
































































































