Friday, November 14, 2025
HomeAKTIVITILebih 2,000 Peserta Sertai Edu Fun Run 3.0 2025 Anjuran Yayasan ANGKASA

Lebih 2,000 Peserta Sertai Edu Fun Run 3.0 2025 Anjuran Yayasan ANGKASA

Lebih 2,000 peserta daripada pelbagai peringkat umur dan lapisan masyarakat membanjiri ibu kota pada pagi 19 Oktober 2025 bagi menyertai Edu Fun Run 3.0 anjuran Yayasan ANGKASA yang memasuki edisi ketiga penganjurannya.

Berkonsepkan pembangunan modal insan warga koperasi serta menggalakkan gaya hidup sihat, penganjuran Edu Fun Run 3.0 2025 menarik penyertaan peserta yang terdiri daripada warga kerja sektor koperasi, pelajar tajaan Yayasan ANGKASA, koperator, anggota koperasi sekolah, guru-guru, ibu bapa serta pelajar dari pelbagai institusi pengajian tinggi.

Wakil Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Encik Azizul Alias berkata, Edu Fun Run 3.0 membawa misi memperkukuh semangat kesihatan, perpaduan dan pembangunan insan warga koperasi di seluruh negara dan wajar diberikan sokongan penuh agar dapat dianjurkan secara konsisten setiap tahun.

“Dengan membawa tema _“Stronger Steps, Smarter Minds,”_ program kali ini bukan sekadar aktiviti riadah, tetapi simbol langkah berani dan pemikiran strategik dalam melahirkan generasi muda yang prihatin serta inovatif,” katanya.

Pengerusi Yayasan ANGKASA merangkap Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah pula berkata, penganjuran Edu Fun Run setiap tahun menjadi platform penting dalam menggalakkan gaya hidup sihat serta memperkukuh kerjasama sosial dalam kalangan warga koperasi, pelajar dan masyarakat.

“Edu Fun Run membuktikan bahawa aktiviti riadah dan kebersamaan mampu menyemai nilai prihatin serta semangat sukarelawan dalam kalangan generasi muda,” ujarnya.

Acara tersebut turut menerima pengiktirafan rasmi daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di mana penyertaan murid sekolah rendah dan menengah diberi markah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) peringkat kebangsaan.

Seramai 40 sukarelawan dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) turut membantu menjayakan penganjuran bagi memastikan kelancaran program, sekaligus memperkukuh peranan mahasiswa sebagai agen perubahan sosial.

Dalam masa sama, Yayasan ANGKASA turut mengumumkan penyerahan sumbangan dana pendidikan daripada 16 organisasi koperasi dan syarikat korporat dengan jumlah keseluruhan hampir RM93,000. Antara penyumbang utama ialah MyANGKASA Amanah Berhad (RM50,000), Mediscreen (RM10,000) dan ST Rosyam Mart Sdn. Bhd. (RM10,000).

Hadir sama dalam program tersebut ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan ANGKASA yang terdiri daripada Datuk Haji Mohamad Ali Hasan, Datuk Haji Ahmad Jamil Hashim, Datuk Haji Md. Yusof Haji Samsudin, Tuan Haji Nasir Khan Yahya, Datuk Syed Azmin Syed Nazir Al Husaini, Dato’ Haji Zazali Haron, Dato’ Fahrul Rohman Ahmad dan Dato Rosni Zahari, Naib Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Encik Rozdeen Mohd Jaafar, Naib-Naib Presiden ANGKASA yang terdiri daripada Datuk Haji Kamarudin Ismail dan Dato’ Che Mohd Shukree Che Isa, Pengerusi ANGKASA Negeri Wilayah Persekutuan, Puan Sharifah Aminah Syed Mohssain dan Timbalan Pengerusi ANGKASA Negeri  Selangor, Prof. Dr. Haji Mansor Ahmad.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Pengurusan Kumpulan ANGKASA, Haji Hasnan Haji Mustafa, Pengerusi Jawatankuasa Audit Dalaman Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Shaharudin Mohd Saad, Wakil Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Puan Hamidah Mohd Jos, Timbalan Pendaftar Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), Encik Nizar Muhsin Mohamed, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan, Encik Aziz Hashim, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Encik Yusaini Salleh, Penolong Pengarah Unit Pembangunan Bakat Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Encik Ahmad Faiz Ismail dan Penolong Pengarah Kokurikulum Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Puan Dhalia @ Evelyn Lamjin.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine