Tuesday, March 3, 2026
HomeUncategorizedThe MAX Awards 2025/2026 Martabatkan Peneraju Agro Makanan Negara

The MAX Awards 2025/2026 Martabatkan Peneraju Agro Makanan Negara

Penganjuran Madani Agro Excellence Awards 2025/2026 atau The MAX Awards menjadi medan penting mengiktiraf kecemerlangan pemain industri agro makanan negara dalam usaha memperkukuh keterjaminan makanan Malaysia.

Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Mohamad Sabu, sektor pertanian perlu terus diperkasa sebagai industri strategik yang moden, berdaya tahan dan kompetitif di peringkat global.

“Pengiktirafan yang diberikan kepada penerima anugerah bukan sekadar satu penghormatan tetapi amanah untuk terus menjadi peneraju dan pemangkin kepada pembangunan sektor agro makanan negara sekali gus menjadi tunjang penting kepada keterjaminan makanan dan kesejahteraan rakyat.”

Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan Program MADANI Agro Excellence Awards (The MAX Awards) 2025/2026 yang berlangsung di Shah Alam pada 5 Februari 2026.

The MAX Awards dianjurkan sebagai platform nasional untuk menghargai inovasi, kepimpinan dan impak berterusan dalam rantaian nilai industri makanan negara selari aspirasi Kerajaan MADANI yang menekankan kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat dan keyakinan.

Tambah YB Datuk Seri Mohamad, sektor pertanian hari ini memerlukan pemodenan yang dinamik, kecekapan pengurusan serta keupayaan berdaya saing di peringkat global khususnya dalam mendepani cabaran perubahan iklim dan peningkatan kos pengeluaran.

Menurutnya, kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan terus komited memperkukuh sektor berkenaan menerusi pemerkasaan teknologi, penglibatan golongan muda dan usahawan baharu serta kerjasama strategik antara kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan.

“Saya percaya dengan kerjasama erat semua pihak, Malaysia mampu mencapai tahap keterjaminan makanan yang lebih kukuh dan berdaya saing di peringkat global,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur atas kejayaan menganjurkan The MAX Awards 2025/2026 dan berharap program seumpama itu dapat diteruskan sebagai wadah penghargaan dan inspirasi kepada kecemerlangan industri pertanian negara.

Pada majlis itu, ANGKASA telah menerima Anugerah Koperasi Terbaik Tahun 2025/2026 sebagai pengiktirafan kepada tadbir urus cemerlang, kepimpinan institusi dan impak positif yang boleh diukur terhadap ahli koperasi di seluruh negara.

Anugerah berkenaan diterima oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh yang mewakili organisasi tersebut.

Turut hadir pada program tersebut ialah Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Hajjah Aiman Athirah Sabu, Penasihat Umum The MAX Awards 2025/2026, Datuk Seri Ustaz Ahmad Awang dan Pengerusi Penganjur Bersama The MAX Awards, Encik Fazrul Nizam Osman.

Kepimpinan ANGKASA yang turut hadir ialah Pengerusi ANGKASA Negeri Selangor, Dato’ Haji Mohd Alias Hamzah.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine