Tuesday, June 23, 2026
HomeUncategorizedPortal Digital KOBESI Dilancar, Perkukuh Transformasi dan Perkhidmatan Anggota

Portal Digital KOBESI Dilancar, Perkukuh Transformasi dan Perkhidmatan Anggota

Koperasi KOBESI Malaysia Berhad melakar satu lagi sejarah penting apabila melancarkan Portal Koperasi KOBESI Malaysia Berhad sempena Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Ke-43 yang berlangsung di Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Bandar Tun Razak yang telah dirasmikan oleh Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah pada hari ini (20 Jun 2026).

Datuk Seri Dr. Abdul Fattah dalam ucapan perasmiannya, menyifatkan pelancaran portal tersebut sebagai satu langkah strategik ke arah memperkasakan transformasi digital organisasi. Menurut beliau, portal berkenaan bukan sekadar platform teknologi, malah menjadi simbol kesungguhan KOBESI dalam memenuhi keperluan anggota yang semakin menuntut akses perkhidmatan yang lebih pantas, mudah dan telus.

Beliau turut menegaskan bahawa MAT  merupakan platform penting dalam amalan demokrasi ekonomi koperasi yang membolehkan anggota menilai prestasi organisasi, menyuarakan pandangan serta menentukan hala tuju masa depan koperasi yang dimiliki bersama. Katanya, kekuatan model koperasi terletak pada keupayaannya mengimbangi keuntungan dengan kebajikan dan kesejahteraan anggota.

Menurut beliau lagi, KOBESI yang terus memberi fokus kepada aktiviti pembiayaan kredit mempunyai peranan besar dalam membantu meningkatkan kesejahteraan ekonomi anggota melalui penyediaan kemudahan kewangan yang selamat, berpatutan dan beretika. Sektor tersebut dilihat sebagai antara instrumen penting dalam menyokong keperluan kewangan anggota pada pelbagai peringkat kehidupan.

Menyentuh mengenai portal yang dilancarkan, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah berkata platform digital itu dijangka menjadi pusat maklumat, medium komunikasi dan saluran interaksi yang lebih efektif antara koperasi dan anggotanya. Inisiatif tersebut juga selaras dengan Dasar Koperasi Malaysia serta agenda pendigitalan negara yang menekankan penggunaan teknologi bagi meningkatkan kecekapan organisasi.

Beliau turut mengiktiraf sejarah panjang KOBESI yang ditubuhkan pada tahun 1969 dan berjaya mengekalkan reputasinya sebagai koperasi yang stabil, berwibawa serta dipercayai oleh anggota. Kejayaan yang dicapai sepanjang lebih lima dekad penubuhannya disifatkan sebagai hasil komitmen anggota, kepimpinan yang berwawasan serta pengurusan yang sentiasa berusaha meningkatkan prestasi organisasi.

Mengakhiri ucapannya, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah menyeru seluruh anggota KOBESI agar terus memberi sokongan kepada kepimpinan koperasi serta meningkatkan penglibatan dalam pelbagai aktiviti yang dianjurkan. Beliau kemudian merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-43 Koperasi KOBESI Malaysia Berhad dan seterusnya melancarkan Portal Koperasi KOBESI Malaysia Berhad, dengan harapan koperasi itu terus menjadi contoh dalam aspek tadbir urus, inovasi, transformasi digital dan pembangunan ekonomi anggota menjelang tahun 2030.

Terdahulu, Pengerusi KOBESI, Datuk Saharudin Zainal Abidin dalam ucapan aluannya merakamkan penghargaan kepada Presiden ANGKASA kerana sudi hadir merasmikan MAT Ke-43 dan melancarkan portal koperasi tersebut. Beliau berkata, pelancaran portal berkenaan merupakan satu langkah penting dalam usaha memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kepada anggota serta meningkatkan kecekapan pengurusan koperasi sejajar dengan perkembangan teknologi semasa.

Menurut beliau, KOBESI akan terus komited memperkasakan aktiviti pembiayaan kredit sebagai teras utama perniagaan koperasi demi memastikan manfaat yang lebih besar dapat dinikmati oleh anggota. Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Ahli Lembaga Koperasi, pihak pengurusan dan seluruh anggota atas sokongan berterusan yang menjadi faktor utama kepada kejayaan KOBESI sehingga hari ini.

Hadir sama ialah Pengerusi ANGKASA Negeri Wilayah Persekutuan, Puan Sharifah Aminah Syed Mohssain, Penolong Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Wilayah Persekutuan, Puan Siti Aisyah Ismail dan barisan Ahli Lembaga Koperasi KOBESI.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -
Google search engine

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine