Pelaksanaan Wakalah Agihan Zakat ANGKASA perlu dilihat sebagai satu mekanisme berterusan bagi memperkasa ekonomi penerima dan bukan sekadar bantuan untuk memenuhi keperluan jangka pendek.
Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Abdul Rahman Abdul Razak Shaik berkata pendekatan itu penting supaya agihan zakat dapat membantu penerima membina kehidupan lebih kukuh dan berdaya tahan.
Menurut beliau, dana wakalah yang diamanahkan kepada ANGKASA perlu disalurkan secara terancang melalui ANGKASA Negeri dan koperasi supaya manfaatnya dapat sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan perasmian sempena Majlis Penyerahan Sijil Penerima Wakalah Agihan Zakat ANGKASA (2024) Negeri Selangor di ibu pejabat ANGKASA pada 14 September 2026.
Beliau turut menekankan kepentingan amanah, ketelusan dan integriti dalam pengurusan dana zakat bagi memastikan setiap peruntukan digunakan mengikut tujuan yang ditetapkan.
“Inisiatif berkenaan selari dengan peranan gerakan koperasi dalam membantu meningkatkan taraf ekonomi masyarakat melalui pendekatan yang lebih tersusun dan mampan.
Pendekatan tersebut juga diharap dapat menjadikan wakalah zakat sebagai instrumen memperkasa penerima sehingga mereka mampu berdikari dan seterusnya keluar daripada kelompok penerima kepada golongan yang berupaya menyumbang kepada masyarakat,” katanya.
“Setiap ringgit yang diamanahkan perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya agar benar-benar memberi impak kepada penerima,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Pengerusi ANGKASA Negeri Selangor, Prof. Dr. Haji Mansor Ahmad dalam ucapan aluannya berkata, pada tahun 2025, ANGKASA Selangor telah menerima sebanyak RM124,376.96 bagi agihan zakat wakalah tahun 2023. Jumlah tersebut telah disalurkan kepada 10 buah koperasi dan dua agensi untuk dilaksanakan kepada golongan yang layak menerima agihan zakat.
“Bagi tahun ini pula, ANGKASA Selangor menerima sebanyak RM128,451.15 bagi pelaksanaan agihan zakat wakalah tahun 2024. Jumlah ini akan disalurkan kepada 12 buah koperasi, dengan anggaran sebanyak RM10,704.26 bagi setiap koperasi,” jelasnya.
Menurutnya, Peningkatan jumlah agihan tersebut menunjukkan bahawa peranan ANGKASA dan gerakan koperasi dalam melaksanakan tanggungjawab sosial semakin mendapat kepercayaan. Namun begitu, perkara yang lebih penting bukanlah jumlah yang diterima, tetapi sejauh mana amanah tersebut dapat disampaikan kepada penerima yang benar-benar layak dan memberi manfaat kepada kehidupan mereka.
“Saya berharap agar koperasi-koperasi yang menerima wakalah ini dapat melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah, telus dan berintegriti, serta memastikan setiap agihan dibuat mengikut ketetapan dan syarat yang telah ditetapkan,” ujarnya lagi.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengurus Besar Bahagian Pengurusan dan Pembangunan Syariah ANGKASA, Dr. Shaharina Abdullah.


