Majlis Perasmian Program Micro to Kecil – Circular Economy & Sustainability Week 2026 telah disempurnakan oleh Penaung Persatuan Seni Jahitan Kreatif Malaysia (PSJKM), Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj yang berlangsung di Pavilion Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 20 September 2026.
Program lima hari yang berlangsung dari 16 hingga 20 September itu menghimpunkan usahawan mikro, penggiat kraf, pengusaha produk handmade dan produk lestari tempatan.
Penganjuran program memberi fokus kepada usaha membantu usahawan mikro berkembang ke tahap perusahaan kecil melalui pengukuhan aspek inovasi, kualiti produk, penjenamaan, pemasaran dan amalan kelestarian.
Menurut Pengerusi PSJKM, Dato’ Fully Chye Goet Lee, penerapan kelestarian turut membuka peluang kepada usahawan mikro untuk meningkatkan nilai produk dan mengembangkan perniagaan.
“Kita mahu usahawan mikro bergerak daripada sekadar menghasilkan produk kepada membina jenama dan perniagaan yang berdaya saing. Dengan inovasi, peningkatan kualiti dan penerapan amalan lestari, mereka mempunyai peluang untuk berkembang daripada mikro kepada kecil serta menembusi pasaran yang lebih luas,” katanya.
Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah bahawa kejayaan lazimnya bermula dengan langkah yang kecil. Baginda menyeru golongan usahawan supaya terus meningkatkan mutu produk, memperkukuh keupayaan diri dan yakin untuk mengembangkan perniagaan ke tahap yang lebih tinggi.
Baginda turut menekankan kepentingan menghubungkan pembangunan keusahawanan dengan konsep ekonomi kitaran, khususnya melalui kreativiti dalam memanfaatkan semula bahan yang tidak lagi digunakan.
Menurut baginda, pendekatan tersebut bukan sahaja berpotensi menghasilkan produk baharu yang mempunyai nilai komersial, malah dapat mengurangkan pembaziran serta menyumbang kepada kelestarian alam sekitar.
Baginda berharap program seumpama itu terus menjadi wadah kepada usahawan untuk mencetuskan idea dan menghasilkan produk inovatif yang berdaya saing.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik dalam temu bual bersama Pelancar berkata gerakan koperasi turut mempunyai ruang untuk memperluas amalan ekonomi kitaran di peringkat komuniti.
“Selain usahawan mikro, koperasi juga boleh memperkasakan koperasi mikro kepada koperasi kecil,” katanya.
Menurut beliau, penglibatan koperasi pada masa akan datang dapat membuka peluang kepada koperasi dan anggota untuk berkongsi pengalaman, membina jaringan bersama usahawan mikro dan kecil serta meneroka model perniagaan yang mengutamakan penggunaan sumber secara cekap, pengurangan sisa dan penciptaan nilai tambah ekonomi.
Usaha ini selari dengan peranan gerakan koperasi dalam memperkukuh ekonomi komuniti secara inklusif, berdaya tahan dan mampan.
Program Micro to Kecil – Circular Economy & Sustainability Week 2026 sekali gus memperlihatkan bahawa kreativiti, inovasi, keusahawanan dan amalan lestari mampu bergerak seiring dalam membina perniagaan tempatan yang lebih mampan serta membuka peluang pasaran yang lebih luas.
Antara pengisian yang diketengahkan termasuk bengkel Natural Dye & Eco Printing, bengkel Upcycle serta pameran beg terbesar di Malaysia yang dihasilkan menggunakan kanvas lori terpakai dan diiktiraf oleh Malaysia Book of Records. Sebanyak 50 reruai turut menampilkan pelbagai produk kraf dan lestari usahawan tempatan.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Isham Ishak, Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri (JKAN) Selangor, Prof. Dr. Hj. Mansor Ahmad @ Ayob dan Timbalan Pengerusi ANGKASA Negeri (JKAN) Selangor, Datin Hajah Nor Faridah A. Bakar.































