HomeUncategorizedEDU Fun Run 4.0 Himpun 1,500 Peserta, Perkukuh Tabung Pendidikan Yayasan ANGKASA

EDU Fun Run 4.0 Himpun 1,500 Peserta, Perkukuh Tabung Pendidikan Yayasan ANGKASA

*EDU Fun Run 4.0 Himpun 1,500 Peserta, Perkukuh Tabung Pendidikan Yayasan ANGKASA*

Lebih 1,500 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat menyertai Program EDU Fun Run 4.0 di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada pagi 20 September 2026 dalam usaha memperkukuh Tabung Pendidikan Yayasan ANGKASA, selain menggalakkan gaya hidup sihat dan semangat kebersamaan.

Program anjuran Yayasan ANGKASA dengan kerjasama ANGKASA Negeri Selangor dan ANGKASA Wilayah Persekutuan itu melibatkan anggota koperasi, pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi, warga korporat serta keluarga dan orang awam dalam larian sejauh lima kilometer.

Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik berkata, penyertaan yang menggalakkan tersebut menunjukkan sokongan masyarakat terhadap usaha ANGKASA memperluas akses pendidikan dalam kalangan warga koperasi.

“EDU Fun Run bukan sekadar acara larian, tetapi merupakan platform yang menyatukan masyarakat dalam satu usaha bersama untuk memperkukuh pendidikan. Setiap penyertaan dan sokongan yang diberikan membawa makna besar dalam membantu Yayasan ANGKASA membuka lebih banyak peluang pendidikan kepada generasi warga koperasi,” katanya.

Beliau yang mewakili Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi Yayasan ANGKASA berkata, penganjuran berkenaan turut memperlihatkan bagaimana gerakan koperasi boleh digembleng bersama sekolah, institusi pengajian tinggi, sektor korporat dan rakan strategik bagi menyokong pembangunan pendidikan.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan ANGKASA, Haji Nasir Khan Yahaya dalam ucapan aluannya merakamkan penghargaan kepada para penaja termasuk MyANGKASA Amanah Berhad (MAAB) yang menyumbangkan RM30,000, Sunshine Bread Sdn. Bhd atas sumbangan 700 unit roti serta Optimax Eye Specialist atas sokongan dan kerjasama menjayakan program tersebut.

Dalam pada itu, SMK Sultan Abdul Aziz Shah, Kajang, Selangor dan Sekolah Menengah Agama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (SMA MAIWP) menerima pengiktirafan bagi kategori penyertaan sekolah teramai, manakala Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (Koop Sahabat) dan Koperasi Kakitangan Bank Simpanan Nasional Berhad (KOBANAS) bagi kategori penyertaan koperasi teramai.

Hadir sama menjayakan program tersebut ialah Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan ANGKASA, Datuk Haji Md. Yusof Haji Samsudin, Pengerusi ANGKASA Negeri Wilayah Persekutuan, Hajah Sharifah Aminat Syed Mohssain, Pengerusi ANGKASA Negeri Selangor, Prof. Dr. Haji Mansor Ahmad @ Ayob, Pengerusi ANGKASA Negeri Melaka, Haji Zaidan Haji Abd. Hadi dan Pengurus Besar Yayasan ANGKASA, Puan Haslinda Haji Ahmad.

ARTIKEL BERKAITAN
- Advertisment -

Terkini

INFOGRAPHICS
Google search engine